Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kes positif Covid-19 merekodkan peningkatan dalam tempoh dua hari berturut-turut.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, kes baharu yang direkodkan sehingga jam 12 tengah hari ini ialah 3,543 kes, naik 273 kes berbanding 3,270 kes semalam.

Katanya, daripada jumlah itu, 364 adalah kes import iaitu 322 warganegara dan 42 bukan warganegara.

Beliau memaklumkan status terkini kes Covid-19 di Malaysia sehingga tengah hari ini ialah kes sembuh 3,484 kes (2,705,292 kes kumulatif, 97.4 peratus); kes baharu 3,543 kes (2,776,699 kes kumulatif); kes import 364 kes (322 warganegara; 42 bukan warganegara).

Kes tempatan pula sebanyak 3,179 kes (3,047 warganegara atau 95.8 peratus dan 132 bukan warganegara atau 4.2 peratus; kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) 253 kes (203 kes disahkan Covid-19, 50 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Kes memerlukan bantuan pernafasan ialah 130 kes iaitu 86 kes disahkan Covid-19, 44 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan).

“Jumlah kluster pula ialah 6,150 kluster iaitu tujuh kluster baharu, 5,960 kluster yang telah tamat dan 190 kluster aktif,” katanya dalam kenyataan kepada media, petang ini.

Mengenai situasi semasa bencana banjir, Dr. Noor Hisham berkata, sehingga jam 3 petang ini, jumlah Pusat Perpindahan Sementara (PPS) yang masih beroperasi adalah 98 PPS iaitu Johor (66), Pahang (16), Sabah (sembilan), Melaka (empat) dan Negeri Sembilan (tiga).

Jelas beliau, jumlah negeri yang dilanda banjir ialah lima iaitu Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah.

“Jumlah keseluruhan mangsa terjejas banjir sehingga kini seramai 5,886 orang dan tiada kes baharu positif Covid-19 dan kluster direkodkan di PPS,” katanya. – MalaysiaGazette