Hishammuddin Hussein Omicron new Covid-19 variant endemic phase
Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Situasi banjir di Terengganu hampir pulih sepenuhnya, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Alhamdulillah, berdasarkan taklimat daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta beberapa agensi sebentar tadi, saya difahamkan setakat 12 tengah hari ini, situasi banjir di negeri ini telah hampir pulih sepenuhnya.

“Lebih melegakan saya, menerusi maklum balas yang saya terima daripada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri semasa taklimat tadi, kerjasama antara kerajaan Terengganu dan ATM dalam melaksanakan operasi banjir di daerah yang terjejas sejak hari pertama cukup erat dan berkesan.

“Malah, koordinasi di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) peringkat daerah mahupun negeri antara ATM, polis, Bomba dan Penyelamat serta setiap agensi turut berjalan dengan lancar,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Hishammuddin, gabungan aset milik ATM dan setiap agensi juga amat membantu bagi memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat khususnya Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Katanya, mereka juga mengagihkan makanan dan barang keperluan ke PPS serta kawasan yang terputus hubungan jalan darat.

“Biarpun situasi banjir di Terengganu hampir pulih sepenuhnya, komitmen ATM untuk terus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri serta setiap agensi berkepentingan tidak berganjak,” katanya.

Beliau memberitahu, fokus dan keutamaan menerusi Operasi Murni ATM Negeri Terengganu kini adalah tertumpu kepada membantu melaksanakan kerja pembersihan pasca banjir terutama di kawasan tumpuan seperti kediaman, rumah ibadat, sekolah dan klinik kesihatan.

“Tumpuan juga diberikan dengan membantu kerja baikpulih jambatan yang terjejas dan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan ujian pengesanan Covid-19 terutama terhadap mangsa banjir.

“Selain itu, mereka bersiapsiaga bagi mendepani sebarang kemungkinan gelombang banjir seterusnya,” katanya.

Bagi tujuan itu, katanya, seramai 1,026 anggota melalui empat pasukan sudah bersiapsiaga untuk diaturgerak ke seluruh Terengganu pada bila-bila masa.

Ini, katanya, tidak termasuk 182 anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang telah diaturgerak ke daerah terjejas banjir di negeri itu sejak hari pertama.

“Saya juga telah maklum kepada Menteri Besar, sekiranya terdapat sebarang keperluan tambahan, maklum terus sama ada kepada saya, Panglima Angkatan Tentera, Panglima Tentera Darat atau wakil ATM di PKOB.

“ATM akan bantu apa jua yang terdaya demi keselamatan dan kebajikan rakyat Terengganu,” katanya.

Mengenai perkembangan terkini Ops Murni di seluruh negara, Hishammuddin berkata, setakat ini, keseluruhan jumlah anggota dan aset ATM yang telah diaturgerak ke setiap negeri dilanda banjir ialah 204 pegawai dan 3,654 anggota Lain-Lain Pangkat.

Aset pula, kata beliau, sebanyak 474 melibatkan 18 trak 7 tan, 173 trak 3 tan, 29 trak 1 tan, 131 bot, 111 enjin bot; empat helikopter dan lapan lain-lain jenis aset.

Katanya, ATM ambil maklum, selain Terengganu terdapat sesetengah kawasan di negeri lain banjirnya juga telah surut dan sebahagian sungai mula menunjukkan trend penurunan.

“Biarpun ini perkembangan yang diharapkan, namun ATM memahami bahawa cabaran pasca banjir juga besar.

“Atas sebab itu, sambil terus menumpukan operasi banjir di kawasan masih terjejas, fokus ATM seterusnya ialah melaksanakan kerja pembersihan pasca banjir berskala besar di negeri yang terjejas, sama seperti di Terengganu,” katanya. – MalaysiaGazette