KUALA LUMPUR – Sebanyak 25,284.6 kilogram (kg) al-Quran yang rosak akibat banjir telah diterima untuk dilupuskan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sehingga 5 Januari 2022.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, kesemua al-Quran itu diterima daripada individu, sekolah, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan beberapa pihak lain dari kawasan Hulu Langat, Selangor dan Mentakab, Pahang.
Katanya, jumlah al-Quran serta buku-buku agama yang diterima dari Mentakab baru-baru ini sahaja sebanyak 3.6 tan manakala SWCorp pula lebih 10 tan.
Semuanya akan dilupuskan di Pusat Pelupusan Al-Quran Darul Kalam Raudhatul Sakinah di Taman Selasih, dekat sini.
Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette ke pusat pelupusan itu mendapati, banyak longgokkan guni berisi buku-buku agama serta al-Quran telah siap dileraikan dan menunggu proses untuk pembakaran selepas selesai melalui proses pengeringan.
Menurut Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan JAWI, Mahfuzah Zohdi, proses ini memakan masa yang agak lama kerana mereka perlu mengikut prosedur yang ditetapkan serta mematuhi hukum syarak bagi menghormati kesucian al-Quran itu.
“Sebenarnya, kapasiti relau pelupusan kita ada ini agak terhad. Hanya maksimum 105 kg naskah boleh dilupuskan dalam satu hari, jadi proses itu akan memakan masa agak lama kerana perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat.
”Lazimnya, abu al-Quran dan buku yang telah siap proses akan dialirkan ke dalam lima telaga di sini, namun disebabkan jumlah penerimaan naskah yang rosak akibat banjir terlalu banyak, maka proses itu perlu dilakukan di laut.
”Kaedah itu akan dilakukan dengan kerjasama agensi yang terlibat seperti Jabatan Pengairan Laut atau Angkatan Pertahanan Maritim Malaysia (APMM),” katanya yang hadir meninjau proses pelupusan al-Quran.
Tambahnya, semua al-Quran yang rosak itu perlu ditimbang terlebih dahulu sebelum dilupuskan.
Kemudian, ia akan dileraikan satu persatu agar ia tidak bercampur untuk memudahkan proses pembakaran.
“Proses untuk leraikan al-Quran yang rosak dan basah itu mudah tetapi kalau kita terima buku bacaan atau buku sekolah yang mengandungi ayat suci, ia merupakan satu cabaran dan memakan masa sebab kita perlu menyemak kandungan buku itu untuk diasingkan kedua-duanya.
”Apabila selesai, kita akan keringkan helaian yang basah termasuk kulit buku. Setelah kering, kita akan masukkan dalam guni dan seterusnya ke dalam mesin pemotong kertas atau terus sahaja ke dalam relau untuk melalui proses pembakaran sehingga ia menjadi abu yang halus,” ujar beliau.
Proses pembakaran al-Quran dan buku itu akan dilakukan pada waktu pagi sehingga malam dengan mengambil masa sekitar empat hingga enam jam agar ia menjadi abu yang halus tanpa meninggalkan serpihan helaian kertas supaya mudah dialirkan ke dalam laut.
Mahfuzah berkata, proses pelupusan ini dilakukan secara percuma oleh JAWI tanpa mengenakan pembayaran.
Oleh itu, beliau menggalakkan orang ramai yang mahu melupuskan al-Quran yang telah rosak boleh merujuk ke pusat ini atau JAWI.
“Tujuan kita mahu mengalakkan masyarakat memelihara kalam Allah itu dan kita ada SOP serta garis panduan yang telah diputuskan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke 30 yang bersidang pada 22 Ogos 1992,” katanya.
Dalam pada itu, atas keprihatinan terhadap kemusnahan al-Quran di masjid dan surau terutama di kawasan yang terjejas banjir, JAWI mengambil inisiatif untuk melancarkan kempen sumbangan atau wakaf al-Quran.
Kempen itu akan dilaksanakan dengan kerjasama masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette