Bantuan Wang Ihsan yang disalurkan untuk mangsa-mangsa banjir di Dewan Kampung Padang, Hulu Langat, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JANUARI 2022.

SHAH ALAM – Lebih RM39 juta Bantuan Wang Ihsan (BWI) telah diagihkan kepada mangsa banjir di seluruh negara, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid.

Beliau berkata setiap penerima dimaklumkan tarikh dan tempat janji temu bagi pemberian bantuan tersebut.

“Bantuan ini kita serahkan setiap hari, malah jika ada yang tidak hadir ke pusat pemberian bantuan, kami akan pergi cari mereka,” katanya kepada media ketika meninjau proses pemberian BWI di Balai Raya Kampung Lombong di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang Mohd Faizal Abd Raji berkata pengagihan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri dan Persekutuan kepada penduduk Taman Sri Muda, Seksyen 25 yang terjejas banjir, akan selesai dalam masa terdekat.

“Sebelum ini, kita telah mengagihkan bantuan itu kepada lebih 90 keluarga dan fasa pemberian seterusnya akan dibuat di Dewan Azalea (Taman Sri Muda) pada Isnin ini dan 17 Jan,” katanya.

Menurutnya sehingga semalam, 2,304 ketua isi rumah telah menerima bantuan tunai daripada kerajaan negeri dan Persekutuan berjumlah RM2,000 seorang.

Mohd Faizal menjangkakan seramai 4,500 orang akan menerima bantuan yang sama hujung minggu ini.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast