Noor Hariri Mohamed Noor

KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada UMNO Kelantan dan Pas negeri itu akan meneruskan Muafakat Nasional (MN) atau sebaliknya akan ditentukan dalam pertemuan antara dua pemimpin parti itu pada 22 Januari ini.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohd Noor berkata, tarikh pertemuan itu telah mendapat persetujuan kedua pihak bagi merungkaikan pelbagai desas desus yang timbul berhubung kedudukan UMNO-Pas dalam MN.

Kata beliau, dalam desas desus itu timbul banyak persoalan dan keraguan sehingga ada pemimpin Pas menganggap UMNO cuba mengikat parti itu dalam menyatakan pendirian sama ada mahu bersama MN atau terus dengan Perikatan Nasional (PN).

“Bagi mendapatkan kepastian ini, UMNO Kelantan telah mengutus surat meminta diadakan pertemuan bersama. Surat itu dihantar kepada Pesuruhjaya Pas Kelantan yang juga Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub.

“Alhamdulillah, dalam surat balas itu, Pas Kelantan bersetuju untuk mengadakan pertemuan dengan UMNO negeri pada 22 Januari ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang memberi peringatan kepada UMNO Kelantan, bahawa parti itu tidak boleh mengikat Pas untuk membuat pilihan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau UMNO.

Menurut Noor Hariri, UMNO tidak pernah mengikat Pas negeri itu dalam isu MN atau PN, tetapi menyuarakan suara akar umbi kedua parti berkenaan yang mahukan kepastian mengenai kerjasama antara mereka.

Katanya, kepastian itu penting bagi ahli UMNO mahupun Pas di Kelantan untuk mengorak langkah dan perjalanan parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“UMNO Kelantan tetap mendukung institusi presiden dan berpegang kepada amanat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang memutuskan tiada kerjasama dengan PPBM pada PRU15.

“Jadi, kita mahukan kepastian, bukan hendak mengikat atau memberikan kata putus kepada Pas selaku rakan dalam MN dan sebarang penyatuan atau perpisahan mestilah dibuat secara berhemah,” kata beliau.

Ujar beliau, di pihak UMNO, Pas dilihat mengutamakan PPBM dalam PN, sedangkan parti itu masih lagi berada dalam MN yang dibentuk melalui piagam pada 2019. – MalaysiaGazette