Najib Razak Tim Leissner 1MDB Goldman Sachs corruption bribe job offer
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Sendiri bocor, sendiri meroyan pula apabila kerajaan mahu siasat, sindir Datuk Seri Najib Tun Razak kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Bekas Perdana Menteri itu membidas Tommy berikutan keengganannya memberi kerjasama kepada Pasukan Petugas Khas Siasatan berhubung pendedahan beliau menerusi bukunya, ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

“Tommy tulis surat jawapan kepada Pengerusi Pasukan Petugas Khas Siasatan bahawa dia tidak akan memberi kerjasama bagi siasatan terhadap salah laku dia dan atok (Tun Dr. Mahathir Mohamad) campur tangan dalam isu lantikan dan pengubahan hakim-hakim serta dakwaan terpilih berdasarkan kepentingan politik semasa dia Peguam Negara,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Najib kata, Tommy tidak patut menolak memberi kerjasama kepada pasukan khas itu kerana pasukan itu hendak menjalankan siasatan berdasarkan pendedahan Tommy yang dikatakan banyak berlaku kepincangan semasa zaman pentadbiran Najib.

“Perkara itu (enggan kerjasama) tidak sepatutnya berlaku kerana pendedahan isu berkenaan dibongkar sendiri oleh beliau menerusi buku tulisannya.

“Sendiri bocor, sendiri meroyan pulak apabila kerajaan mahu siasat,” katanya.

Pada Oktober lalu, kerajaan menyatakan persetujuannya untuk menubuhkan sebuah pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil terhadap dakwaan Tommy dalam bukunya itu.

Pada 8 Disember lalu pula, kerajaan melantik Penasihat Undang-Undang negeri Sarawak dan bekas Peguam Besar Sarawak, Datuk Seri Fong Joo Chung sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas bagi menjalankan siasatan ke atas bekas Peguam Negara lantikan Pakatan Harapan (PH) itu. – MalaysiaGazette