Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin

KUALA LUMPUR – Agrobank mengumumkan pelantikan Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin sebagai Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif (P/CEO) Agrobank berkuatkuasa 3 Januari 2022.

Berbekalkan 29 tahun pengalaman dalam bidang perbankan dan kewangan, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin merupakan seorang yang berkaliber dan berpengalaman serta mempunyai sejarah prestasi yang terbukti membanggakan dalam industri ini.

Sebelum berkhidmat di Agrobank, beliau telah memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan di beberapa institusi kewangan di Malaysia iaitu Pelaburan MARA Berhad (PMB), Kuwait Finance House dan HSBC Bank Malaysia Berhad.

Pengerusi Agrobank, Datuk Mustapha Buang, berkata, pelantikan Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin menandakan dedikasi berterusan Agrobank untuk memastikan pencapaian dalam menerajui Pelan Perniagaan Strategik (SBP) 2021 – 2025, sekali gus memastikan kelestarian sektor pertanian negara.

Pihak Lembaga Pengarah Agrobank yakin beliau mampu memacu dan menerajui fasa penting Agrobank seterusnya membantu komuniti yang kurang mendapat perhatian serta mengubah landskap kewangan berasaskan pertanian melangkaui perbankan sejajar dengan panduan yang digariskan dalam pengantaraan berasaskan nilai (VBI). – MalaysiaGazette