PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak berusia dua dan empat tahun cedera dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 4.8, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, di sini, petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Supt Lim Jit Huey berkata, kejadian kira-kira pukul 6 petang itu melibatkan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun, dan sebuah motorsikal yang ditunggangi seorang lelaki berusia 24 tahun bersama isteri, 20, dan dua anaknya.

Menurut Lim ketika kejadian, kesemua yang terlibat dalam kejadian itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kota Tinggi ke Johor Bahru, berhampiran lampu isyarat Jalan Serampang.

“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motorsikal bersama isteri bersama dua anaknya mengalami kecederaan dan kini masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Sementara itu, pemandu kereta pula tidak mengalami kecederaan dan telah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut di Balai Polis Trafik JBS pada pukul 6.53 petang hari yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata, percakapan pemandu kereta itu telah dirakam dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta  Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu kata Lim, pihaknya memohon saksi yang melihat kejadian kemalangan tersebut untuk tampil memberi maklumat di balai polis JBS atau berhubung dengan penolong pegawai penyiasat Sarjan [email protected] Ab Samt di 019-7533893.

Terdahulu, tular video berdurasi 18 saat memaparkan insiden kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Axia berwarna hijau yang secara tiba-tiba mengubah laluan dari laluan tengah ke kanan, lalu merempuh sebuah motorsikal yang ketika itu berada di lorong kanan laluan tersebut.

Akibat dari rempuhan itu, penunggang motosikal bersama tiga pembonceng termasuk dua kanak-kanak tercampak di atas jalan raya.

Turut tular di laman sosial dipercayai gambar dua kanak-kanak di atas jalan raya dalam keadaan berlumuran darah, dipercayai daripada kejadian tersebut. – Bernama