Hafiz Ariffin.

JOHOR BAHRU – Keputusan kerajaan Johor meluluskan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1985 (Pindaan) 2021 bagi menurunkan had umur warganegara yang layak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun satu usaha yang baik.

Ia selaras dengan hasrat orang muda untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi secara lebih inklusif dan progresif, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin.

Beliau berkata, dengan  pelaksanaan UNDI 18, di Johor sebanyak, 706, 082 orang muda dengan  penambahan hampir 40 peratus pengundi baharu layak mengundi menjelang pilihan raya umum kelak.

Dari jumlah keseluruhan pengundi, penambahan itu akan memberi kesan signifikan kepada pola pengundian, katanya dalam kenyataan media.

Beliau yang juga merupakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sembrong memberitahu, ia merupakan isyarat kepada parti-parti politik untuk menyesuaikan syarat keahlian dan operasi parti bagi membuka pintu dan ruang kepada generasi baru  bersama mencorak lanskap politik semasa tanah air.

DUN Johor semalam meluluskan pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1985 (Pindaan) 2021 bagi menurunkan had umur warganegara yang layak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Cadangan pindaan had umur terhadap Fasal 16 Bahagian 2, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1985 itu, yang dikemukakan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dengan Ahli Dewan Undangan Negeri Semarang, Datuk Samsolbari Jamali menyokong, diluluskan sebulat suara selepas bacaan kali ketiga.

Pindaan rang undang-undang itu selari dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan sebelum ini yang menurunkan umur kelayakan mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Dalam pada itu , ketika  membentangkan usul pindaan tersebut, Hasni berkata, pindaan itu merupakan salah satu daripada pelbagai inisiatif berterusan kerajaan negeri melibatkan pemberdayaan orang muda Johor.- MalaysiaGazette