Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – MCA jangan cuba menjadi penasihat dengan tindakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki hendak menyaman penulis yang bertanggungjawab mendedahkan kes pembelian saham.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, parti itu seharusnya mengambil sikap tunggu dan lihat apa akan berlaku sekiranya Azam meneruskan tindakan undang-undang ke atas wartawan, Larita Kunaratnam.

Katanya, biar perkara sebenar terbongkar di mahkamah dan rakyat tahu dan tidak keliru dengan jawapan Azam yang kononnya nama dan akaun beliau digunakan oleh adiknya untuk membeli saham.

“MCA tidak perlu jadi tukang nasihat minta Ketua Pesuruhjaya SPRM itu menghentikan tindakan undang-undang terhadap wartawan berkenaan.

“Malah, Putra mengucapkan tahniah kepada Azam kerana menyaman Larita yang mendedahkan isu adiknya meminjam nama beliau untuk membeli saham demi membersih namanya.

“Saya juga mengucapkan tahniah kepada Lalita kerana bersedia disaman untuk beliau mendedahkan lebih banyak lagi apa yang dia tahu dalam kes itu,” katanya kepada media hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal hari ini yang mana jurucakap MCA, Chan Quin Er menggesa Azam tidak meneruskan tindakan saman ke atas wartawan berkenaan berhubung dua artikel mengenai pemilikan sahamnya dalam dua syarikat senaraian awam.

Dalam kenyataan itu, MCA dilaporkan berkata, tindakan menyaman wartawan itu hanya akan memberi dampak buruk kepada Azam.

“MCA menggesa Azam menarik balik surat tuntutan yang dikeluarkan kepada wartawan itu. Berbuat demikian demi kepentingan ketelusan dan akauntabiliti awam akan membuktikan bahawa sebagai penjawat kanan kerajaan yang berjawatan tinggi, beliau tidak perlu menyembunyikan apa-apa,” Quin Er dilaporkan sebagai berkata.

Menurut Ibrahim, tindakan undang-undang itu elok dipercepatkan supaya rakyat dapat tahu siapa yang benar dan berintegriti.

Kata beliau, sekadar menjelaskan isu berkenaan menerusi sidang media, tidak memadai, malah menambahkan kekeliruan rakyat berhubung integriti penjawat awam. – MalaysiaGazette