KUALA LUMPUR – MSM Malaysia Holdings Bhd bersedia untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar gula bertapis terkemuka di Asia Pasifik dengan kontrak terbaharu membekalkan gula bertapis bernilai RM290 juta yang diperoleh oleh anak syarikat milik penuhnya, MSM Prai Bhd (MSM Prai) daripada The Coca-Cola Company (Coca-Cola).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, peluang untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan Coca-Cola, jenama minuman ringan paling bernilai di dunia, adalah sebahagian daripada rangka tindakan eksport MSM sebagai di antara lapan syarikat teratas penapis gula bersepadu global.

“Pencapaian ini merupakan rangsangan tambahan kepada MSM setelah berjaya mencapai pemulihan pada 2021 dan mempercepatkan pengembangan MSM ke pasaran yang lebih luas di seluruh rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, MSM telah bekerjasama dengan Coca-Cola di dalam negara lebih dari 10 tahun.

Di bawah kontrak dengan Coca-Cola Bottlers (Malaysia) Sdn Bhd, MSM akan membekalkan 148,000 tan gula bertapis kepada syarikat itu dari 2022 hingga 2023. – Bernama