Datuk Seri Najib Tun Razak. Foto MOHD ADZLAN, 07 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Tatkala Pakatan Harapan (PH) menabur janji ‘bulan dan bintang’ pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), Datuk Seri Najib Razak mengambil langkah untuk bercakap benar.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, segala janji yang ditaburkan PH ketika itu adalah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan walaupun gabungan parti politik itu dapat memerintah negara pada 9 Mei 2018.

“Waktu PRU14 dulu, saya ada pilihan nak janji syurga di dunia, yang saya tahu tak mungkin saya dapat tunaikan, ataupun saya nak cakap benar dan jujur kepada rakyat.

I choose to speak the truth (saya pilih untuk bercakap benar) sebab saya tahu sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada ketika itu mustahil nak hapuskan tol 100 peratus, mustahil harga minyak boleh diturunkan RM1.50 (seliter),” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada program ‘Bossku our national pride’ dan santai bersama Datuk Seri Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Pada 9 Mei 2018, PH berjaya memegang tampuk pemerintahan setelah menewaskan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib.

Menurut manifesto PH setebal 138 halaman gabungan parti politik tersebut berjanji untuk menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan tol secara beransur-ansur serta menyalurkan subsidi minyak kepada kumpulan sasaran serta menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Justeru itu, kata Najib, beliau memilih untuk bercakap benar ketika itu kerana berpendapat segala janji PH sukar untuk ditunaikan.

“Saya tidak sanggup menipu rakyat, tak apa lah, apa pun kesannya tak apa.

“Tapi sejarah akan membuktikan bahawa saya bercakap benar. Saya boleh tidur dengan lena waktu malam, saya tidak ada masalah untuk bercakap benar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast