KUALA LUMPUR – Enam sukarelawan bantuan banjir Ikatan Demokratik Bersatu Malaysia (Muda) disoal siasat oleh polis kerana dipercayai menyampaikan bantuan secara terus mangsa-mangsa banjir di Segamat Johor.
Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang membuat dakwaan itu berkata, pihaknya menyampaikan bantuan begitu kerana tidak mahu menyulitkan keadaan memandangkan yang memohon pun adalah mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan di rumah.
Dalam kenyataan media secara langsung menerusi Facebook, beliau berkata, masih ramai mangsa-mangsa banjir tidak diberikan bantuan yang dijanjikan.
“Ada yang lapar menunggu makanan. Sebab itu team sukarelawan Muda akan terus membawa bantuan kepada mereka, bertindak dengan cepat,” katanya sambil meminta maaf kerana tidak meletakkan bantuan di lokasi yang ditetapkan.
“Jangan layan sukarelawan ini sebagai penjenayah sampai nak panggil, disiasat polis hanya kerana mereka menyampaikan bantuan makanan terus kepada mangsa-mangsa terkesan,” ujarnya.
Syed Saddiq berkata, beliau sudah berjumpa dengan pegawai di daerah dan akan cuba untuk mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Kalau ada mangsa-mangsa banjir yang text kami memohon makanan, basuh rumah, kita mohon berilah kelonggaran supaya kita dapat serahkan bantuan.
“Kesilapan itu adalah daripada pihak saya dan berharap polis memberi budi bicara. Mereka di sini niat ikhlas untuk membantu,” ujar beliau.
Ketua Muda Johor Azrol Ab Rahani berkata, pasukan sukarelawan Muda pada pada 5 Januari lalu telah menjawab permintaan mangsa banjir di pusat perlindungan di sebuah sekolah di Segamat.
Katanya, mereka diberi keizinan ntuk menghantar 200 bantal, 200 tilam beserta makanan, berdasarkan permintaan yang diterima.
“Namun, selepas kami keluar pada keesokan harinya kami diberitahu beberapa laporan polis di Segamat telah dibuat terhadap kami,” katanya.
“Kami tidak tahu kesalahan apa yang kami lakukan dan sedang tunggu keputusan polis,” katanya.
Mengulas mengenai siasatan itu, Syed Saddiq berharap polis dan kerajaan negeri memberi kelonggaran kepada sukarelawan untuk sampaikan bantuan yang dimohon oleh rakyat.
“Kesilapan mereka hanya menyalurkan bantuan terus kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette