Zazali Haron

MELAKA – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyalurkan bantuan sebanyak RM2.6 juta kepada 86 koperasi di seluruh negara yang terjejas akibat bencana banjir.

Pengerusi Eksekutif SKM Zazali Haron berkata, kira-kira 70,000 ahli koperasi di seluruh negara telah dikenal pasti terjejas dalam bencana itu baru-baru ini.

Menurutnya terdapat tiga inisiatif besar termasuk bantuan sehingga RM30,000 kepada mana-mana koperasi terjejas dan ianya perlu dipohon kepada SKM secara dalam talian.

“Permohonan boleh dibuat secara online yang disertakan gambar dan laporan polis, InsyaAllah kita akan pertimbangkan bantuan sehingga RM30,000.

“Keduanya adalah Kumpulan Wang Rizab Statutori (KWRS) iaitu mandatori dari segi akta wang lebihan koperasi kena reservekan (simpanan) dalam tabung 15 peratus kita turunkan sehingga lapan peratus sahaja jadi secara tidak langsung ianya bagi modal tunai kepada koperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program 10,000 Langkah Inter Generasi Keluarga Malaysia di Taman Rempah, Sungai Melaka di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Angkasa, Datuk Dr Abdul Fatah Abdullah.

Program anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun itu turut mendapat kerjasama Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka dan Persatuan Pengamal Media Melaka (Pendika).

Mengulas lanjut Zazali berkata, pihaknya turut memberi kelonggaran kepada persatuan koperasi untuk melanjutkan tempoh mengadakan mesyuarat agung tahunan susulan bencana banjir 18 Disember lalu menyebabkan sebahagian koperasi mengalami kerosakan teruk termasuk peralatan dan dokumen penting.

Sementara itu, Abdul Fatah berkata, sehingga kini sebanyak RM5 juta telah disalurkan kepada ahlinya yang terjejas banjir dan pandemik Covid-19 dalam tempoh dua tahun ini.

“Kita juga telah santuni lebih daripada 70,000 orang yang terdiri daripada pelbagai jenis lapisan dan juga barisan hadapan kerana sebahagian besar mereka ini juga adalah ahli koperasi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast