Home Nasional Pasar raya terima saman susulan orang ramai rebut minuman

Pasar raya terima saman susulan orang ramai rebut minuman

SETIAWAN – Polis akan mengeluarkan saman kepada sebuah pasar raya besar di Setiawan, Perak selepas rakaman video menunjukkan orang ramai berpusu-pusu untuk merebut minuman yang dijual dengan harga istimewa.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Nor Omar Sappi memberitahu Sinchew Daily, pihaknya akan mengeluarkan saman pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada pengurusan pasar raya itu.

Dalam video 30 saat yang tular dalam Internet, sekumpulan pelanggan kelihatan merebut minuman yang baru sahaja dipamerkan untuk jualan.

Keadaan itu turut mengundang kritikan warganet kerana orang ramai telah mengabaikan SOP ketika mahu merebut barang.

Dalam perkembangan lain mengenai COVID-19, Kwong Wah Yit Poh melaporkan kebanyakan parti politik dan wakil rakyat di Pulau Pinang tidak akan mengadakan rumah terbuka Tahun Baharu Cina tahun ini susulan penularan varian Omicron yang berlaku.

Menurut akhbar itu, MCA Pulau Pinang, DAP Pulau Pinang dan DAP pusat telah membuat keputusan untuk tidak mengadakan program sambutan besar-besaran tahun ini.

Untuk Gerakan pula, parti itu akan mengadakan sambutan peringkat pusat di Wisma Gerakan di ibu negara, tetapi sambutan di peringkat Pulau Pinang mungkin tidak akan dijalankan.

Seperti dengan PKR Pulau Pinang, Gerakan negeri itu akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk menentukan sama ada sambutan peringkat negeri akan dijalankan.

“Jika sambutan dijalankan di Pulau Pinang, maka ia hanya akan dijalankan secara kecil-kecilan,” kata Setiausaha Gerakan Pulau Pinang, H’ng Chee Wey. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast