Saarani Mohamad Perak MAPS theme park white elephant project state government Movie Animation Park Studios
Datuk Seri Saarani Mohamad

IPOH – Isu berhubung notis pengusiran yang diberikan kepada beberapa tokong yang beroperasi di dalam gua di sekitar daerah Kinta akan dibincangkan bersama beberapa jabatan dan agensi berkaitan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata. satu perbincangan bersama Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Pegawai Daerah Kinta diadakan hari ini sebelum mengadakan pertemuan bersama pihak pembangkang esok.

“Kemudian, saya akan bawa perkara sama dalam mesyuarat Exco pada hari Rabu untuk mendapatkan pandangan dan selepas itu kita akan maklumkan apakah tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah projek naik taraf sebahagian Jalan Tambun di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Tambun merangkap Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Semalam, media melaporkan pihak pengurusan Kuil Nam Thean Tong di Gunung Rapat di sini menerima notis Pejabat Tanah Daerah Kinta pada Jumaat lepas supaya mengosongkan gua berkenaan dalam tempoh 30 hari.

Kuil yang terletak di dalam gua berkenaan dikatakan berusia 155 tahun dan merupakan satu daripada lokasi yang kerap dikunjungi serta terletak bersebelahan Kuil Sam Poh Tong yang merupakan destinasi pelancongan popular.

Difahamkan, sebanyak 19 kuil lain di dalam beberapa gua di sini yang merupakan tanah kerajaan turut diberikan notis sama dan bakal berdepan tindakan.

Sementara itu, ditanya mengenai isu penggulungan syarikat PCB Development Sdn Bhd (PCBD) yang merupakan anak syarikat Perak Corporation Berhad (PCB), Saarani berkata, perkara itu berada di luar bidang kuasa kerajaan negeri.

Katanya, sebarang keputusan ditentukan oleh syarikat yang berada dalam senarai Bursa Malaysia dan kerajaan negeri tidak mengalami kerugian kerana tidak terlibat dalam pelaburannya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal yang juga bekas Menteri Besar Perak berkata, langkah penggulungan syarikat tersebut adalah keputusan bijak oleh pihak pengurusan kerana tindakan itu bagi menjimatkan perbelanjaan syarikat induk iaitu PCB.

“Kita mesti faham yang ditutup ini adalah syarikat sendirian berhad di bawah PCB. Anak syarikat yang ditutup untuk menjimatkan perbelanjaan syarikat utama,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast