Keadaan ribuan batang kayu hanyut berikutan banjir kuat yang melanda ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Karak, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 28 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pusat dicadangkan mewujudkan Rang Undang-Undang (RUU) atau akta balak bagi mengelak penebangan tidak terkawal oleh pihak yang rakus dan tidak bertanggungjawab.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra),  Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, beliau terkejut dengan fenomena balak hanyut di musim banjir sebagaimana berlaku di Kelantan, Pahang dan beberapa negeri baru-baru ini.

Katanya, Malaysia antara negara yang turut menandatangani Konvensyen Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PPB) dengan menetapkan balak di setiap negeri tidak boleh ditebang sewenang-wenangnya.

Namun, tegas beliau, bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri baru-baru ini menunjukkan wujud pelanggaran perjanjian itu, apabila puluhan ribu balak hanyut dan merempuh kediaman penduduk di kawasan pedalaman.

“Setiap kali banjir mesti ada balak hanyut. Paling buruk, balak itu merempuh rumah rakyat dan tersadai di jalan raya. Selain itu, berlaku tebing bukit dan tanah runtuh. Ini mengundang bahaya, apatah lagi yang tinggal di tepi sungai serta kaki bukit.

“Putra akan menjadikan isu ini sebagai perjuangan parti untuk mendesak kerajaan Persekutuan mewujudkan RUU Balak dan mewajibkan semua negeri mendapatkan kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA).

“Selain itu, dalam akta itu juga dimasukkan beberapa peraturan ketat dan tegas seperti mengenakan hukuman berat mandatori rotan serta penjara seumur hidup jika berlaku pembalakan secara tidak terkawal,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

 

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali bercakap kepada media ketika di bilik gerakan di DUN Paya Rumput, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2021.
Dr. Ibrahim Ali

Beliau mahu Malaysia mencontohi negara jiran Thailand yang mengharamkan penebangan balak dan mengenakan hukuman bunuh bagi yang melakukan perbuatan yang dikira sebagai jenayah itu.

Thailand, tegas Dr. Ibrahim, tidak meluluskan kawasan pembalakan ditebang sewenang-wenangnya seperti di Malaysia, yang melakukan aktiviti itu secara bebas seperti menebas pokok lalang.

Beliau turut menamakan Kelantan, Pahang, Sarawak dan Sabah antara negeri yang membenarkan pembalakan secara tidak terkawal dan pokok balak boleh ditebang sewenang-wenangnya.

Bahkan, kata beliau, hutan di Kelantan musnah sejak berpuluh tahun lalu akibat pembalakan sehinggakan flora dan fauna, binatang dan kediaman masyarakat Orang Asli turut terkesan.

“Ianya hasil perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab. Putra sedih dan kecewa dengan keadaan ini.

“Di negara Eropah, balak hanya boleh diangkut mengunakan helikopter bagi mengelak kerosakan jalan dan mengelak aktiviti mencuri balak secara haram.

“Malah, ini semua boleh dilakukan jika ada kemahuan politik dan semua pihak sayangkan alam sekitar serta keselamatan rakyat,” katanya.

Beliau menjelaskan, walaupun Perlembagaan Negara menyatakan pembalakan adalah prerogatif kerajaan negeri, namun perkembangan terkini yang negatif dan destruktif memerlukan kerajaan Pusat mengawasi kondisi dan situasi yang tidak terkawal itu demi kepentingan rakyat dan masa depan negara.

Katanya, untuk tujuan penyelarasan, kerajaan Pusat boleh menggubal sebuah akta atau meminda akta sedia agar aktiviti pembalakan yang diurus bersama dengan kerajaan negeri melalui keperluan mendapatkan kelulusan EIA terlebih dahulu.

“Langkah ini mungkin akan ditentang kerajaan negeri atas sebab yang kita semua ketahui, tetapi tindakan kerajaan Pusat ini akan mempamerkan secara jelas dan tegas keprihatinan terhadap kepentingan rakyat.

“Selain itu, masa depan negara mesti dan wajib mengatasi segala kepentingan pihak yang tamak,” katanya.

Tegas Dr. Ibrahim lagi, isu itu akan menjadi salah satu manifesto perjuangan Putra demi kelangsungan kehidupan rakyat yang menjamin kesejahteraan mampan dan negara mendapat berkat.

Dalam pada itu, beliau gembira apabila Parlimen akan mengadakan persidangan khas pada 20 Januari ini untuk membahas dan membincangkan isu banjir.

Namun, beliau berharap, keputusan mengadakan persidangan khas itu bukan bersifat retorik yang hendak menunjukkan tunjuk prihatin kerajaan kepada rakyat. – MalaysiaGazette