Bekas Penolong Setiausaha Eksekutif Majlis Pengakap Negeri Melaka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah bernilai RM63,400 tujuh tahun lalu.

MELAKA – Bekas Penolong Setiausaha Eksekutif Majlis Pengakap Negeri Melaka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah bernilai RM63,400 tujuh tahun lalu.

Tertuduh Ahmad Danial Osman, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus 30 pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai Penolong Setiausaha Eksekutif Majlis Pengakap Negeri Melaka dengan curangnya telah menyalahgunakan harta Persekutuan Pengangkap Malaysia Negeri Melaka.

Harta terbabit ialah wang tunai berjumlah keseluruhan RM63,400 yang digunakan demi kepentingan diri sendiri yang dilakukannya antara 15 Oktober 2015 sehingga 30 Januari 2018.

Nilai terbabit adalah bayaran sewa untuk tiga premis milik persatuan itu.

Sabit kesalahan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan dengan sebat dan dikenakan denda.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwanshah Abdul Samat, mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudia merayu jaminan rendah dengan alasan tidak bekerja selain menghidap kencing manis kronik.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan perlu melaporkan diri sekali pada setiap bulan di pejabat SPRM.

Hakim kemudian turut menetapkan 14 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast