Di bawah Bajet 2022, sejumlah RM300 juta telah diperuntukkan untuk memanfaatkan sekitar dua juta belia melalui sebuah inisiatif e-tunai, ePemula.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah menerima penyelesaian berjumlah RM340.92 juta (AS$80 juta) daripada KPMG yang telah disalurkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset Malaysia.

Penyelesaian ini susulan persetujuan KPMG untuk menyelesaikan saman sivil yang difailkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap mereka yang diumumkan pada 16 September 2021.

Kementerian Kewangan berkata, setakat ini, Akaun Amanah – di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara Malaysia telah menerima sejumlah RM19.138 bilion berhubung skandal kewangan 1MDB.

Dana ini telah/akan digunakan untuk menyelesaikan hutang tertunggak 1MDB.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, sehingga kini, kerajaan telah membayar balik RM13.3 bilion hutang 1MDB.

Pada 31 Disember 2021, hutang terkumpul 1MDB yang terdiri daripada prinsipal dan kupon/keuntungan untuk bon dan Sukuk adalah berjumlah RM38.81 bilion.

Walau bagaimanapun, baki semasa Akaun Amanah adalah mencukupi untuk membayar jumlah prinsipal bon untuk tahun ini (2022) sahaja.

Apabila semua dana Akaun Amanah telah digunakan, kerajaan akan terus menanggung obligasi untuk membayar baki hutang 1MDB, yang penerbitannya disokong oleh jaminan dan surat sokongan kerajaan.

Menurutnya, kerajaan kekal komited dalam usaha pemulihan aset 1MDB dan akan sentiasa memastikan peruntukan yang mencukupi untuk menyelesaikan
hutang 1MDB bagi menguruskan beban kewangan negara yang diakibatkan oleh entiti ini. – MalaysiaGazette