Tertuduh, Pembantu Penguatkuasa di Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Firdaus Azad Ab. Hamid, 37, dibawa anggota SPRM untuk dibacakan pertuduhan menerima rasuah daripada Syarikat Yip Chee Seng & Sons Sdn. Bhd ketika di Mahkamah Sesyen Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 13 JANUARI 2022.

SHAH ALAM – Pembantu Penguatkuasa di Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima rasuah.

Firdaus Azad Ab. Hamid, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Rozilah Salleh pagi ini, selepas pertuduhan dibaca ke atasnya.

Beliau dituduh bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana menerima sejumlah wang daripada Pengarah Syarikat Yip Chee Seng & Sons Sdn. Bhd., Yip Kun Kuin pada 12 November 2019.

Beliau ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, dan dihadapkan ke mahkamah pagi ini, atas dakwaan menerima rasuah.

Ketika pertuduhan dibacakan berhubung kesalahan ke atasnya, Firdaus Azad yang dibawa ke mahkamah kira-kira jam 9 pagi, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Yusrizal Zulkifli kemudian mengenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, manakala tertuduh perlu menyerahkan pasport dan melaporkan diri di mana-mana ibupejabat SPRM yang terdekat pada awal bulan.

Rozilah bagaimanapun, menetapkan ikat jamin RM8,000 selepas mendengar rayuan tertuduh yang meminta jumlah itu dikurangkan kerana masih menyara kedua ibu bapa, isteri dan tiga anak yang masih kecil serta bersekolah.

Tarikh perbicaraan ditetapkan pada 15 Februari ini dengan kedua pihak iaitu tertuduh dan penjamin, iaitu isteri Firdaus Azad perlu hadir bersama bagi memastikan wang jaminan tidak terbatal.

Rozilah turut mengingatkan kepada isteri Firdaus Azab berhubung tanggungjawabnya sebagai penjamin iaitu memastikan tertuduh hadir setiap kali perbicaraan sehingga pada hari keputusan hukuman.

Mengikut kertas pertuduhan, Firdaus Azad melakukan kesalahan itu di Bank Islam Malaysia Cawangan Seksyen 18, Shah Alam dengan menerima sejumlah wang tanpa balasan daripada Kok Kuin sebagai dorongan membantu mendapatkan Permit Tahunan Sementara untuk syarikat berkenaan.

Tertuduh ketika itu menjawat jawatan Pembantu Penguatkuasa di Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan MPS dengan gaji RM2,000 sebulan.

Beliau dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya. – MalaysiaGazette