Seng Hok Siong

MELAKA – Seorang peniaga didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menjual sembilan unit walkie talkie yang tidak diperakui dua tahun lalu.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Seng Hok Siong, 43, yang membuat pengakuan tersebut sebaik sahaja dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, tertuduh didapati telah menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui oleh Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 berupa sembilan buah walkie-talkie jenama Baofeng.

Kesalahan dilakukan tertuduh di Plaza Melaka Sentral pada 4 Julai 2020 dan 5 Mei 2021.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 16(1)(b) Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 dibaca bersama Peraturan 16(3) Peraturan-peraturan sama yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 Peraturan-peraturan sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan mempunyai empat anak yang masih bersekolah selain pendapatan terjejas akibat pandemik Covid-19.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhajaya Komunikasi Multimedia dan Maklumay (SKMM) Nazrul Nizam Mohd Zameri bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan atau penjara dua bulan jika gagal bayar.

Tertuduh membayar denda tersebut. – Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast