Wee Ka Siong diberi penerangan mengenai Pelabuhan Kemaman.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan pembangunan di Pelabuhan Kemaman untuk jangka pendek dan sederhana dijangka meningkatkan kapasiti daripada 7 juta tan setahun kepada 33 juta tan setahun pada 2026.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, Konsortium Pelabuhan Kemaman (KPK) selaku pengendali Pelabuhan Kemaman telah menandatangani kontrak dengan Eastern Steel Material Handling Sdn. Bhd. bagi penempatan dua buah kren di Pelabuhan Kemaman yang dijangka siap dipasang pada akhir tahun 2022.

KPK juga merancang untuk memasang dua buah kren pada suku ketiga tahun 2022 bagi meningkatkan lagi kecekapan dan produktiviti pengendalian kargo di Pelabuhan Kemaman.

Menurutnya, penempatan empat buah kren di Pelabuhan Kemaman akan meningkatkan kapasiti pengendalian kargo Pelabuhan Kemaman sehingga 12 juta tan setahun.

Bagi jumlah kapal yang dikendalikan di Pelabuhan Kemaman pula, peningkatan direkodkan bagi tempoh 10 tahun, iaitu daripada 423 buah kapal pada tahun 2011 dan mencapai 795 kapal pada 2019.

Bagaimanapun, jumlah kapal yang dikendalikan di Pelabuhan Kemaman turut mengalami penurunan pada dua tahun terakhir iaitu sebanyak 753 kapal pada 2020 dan hanya 495 kapal pada tahun 2021.

Namun, Ka Siong berkata, kementerian itu positif jumlah kendalian kargo dan kapal di Pelabuhan Kemaman akan kembali meningkat pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang selaras dengan keadaan ekonomi yang kembali pulih pasca wabak Covid-19.

Selain daripada itu, berdasarkan komitmen pengguna sedia ada dan baharu, Pelabuhan Kemaman akan merekodkan trend peningkatan dalam pengendalian kargo.

Berdasarkan unjuran yang dibuat, Pelabuhan Kemaman akan mengendalikan sejumlah 5.7 juta tan kargo pada tahun ini, disusuli dengan 6.2 juta tan pada 2023, 17.9 juta tan pada 2024 dan 24.4 juta tan pada tahun 2025

”Kementerian juga berharap supaya pelan pembangunan jangka panjang pelabuhan yang akan melibatkan modenisasi dan pembesaran pelabuhan dengan tambahan dermaga dan kemudahan-kemudahan baru termasuk peralatan pelabuhan untuk meningkatkan kapasiti bagi menampung keperluan pengguna pelabuhan semasa dan akan datang dapat direalisasikan dalam masa terdekat ini,” katanya sempena lawatan ke Pelabuhan Kemaman.

Pelabuhan Kemaman telah menunjukkan peningkatan dalam pengendalian kargo tahunan bermula daripada empat juta tan pada tahun 2011 dan pernah mencecah hingga lapan juta tan
pada tahun 2019.

Katanya, meskipun pengendalian kargo bagi dua tahun terakhir iaitu tahun 2020 dan 2021 menurun iaitu 6.96 juta tan pada 2020 dan 5.45 juta tan pada 2021, namun penurunan ini adalah selari dengan penurunan dagangan di seluruh dunia akibat penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, Ka Siong berkata, Pelabuhan Kemaman akan menerima pelabur baharu iaitu Syarikat JXR Manufacturing yang akan mengambil alih kilang Perwaja.

Syarikat JXR yang menghasilkan steel billet dijangka mula beroperasi pada tahun 2024 dengan pengendalian sebanyak 7 juta tan kargo.

Selain daripada itu, syarikat Eastern Steel Sdn. Bhd. (ESSB) yang merupakan pengguna utama Pelabuhan Kemaman turut melaksanakan pembesaran kilangnya dan ia dijangka mula beroperasi pada tahun yang sama.

Dengan pembesaran ini, kargo ESSB meningkat daripada 1.5 juta tan kepada 5 juta tan setahun, ujar beliau.

Ka Siong yakin rancangan pelan pembesaran Pelabuhan Kemaman yang diterajui Lembaga Pelabuhan Kemaman dan KPK akan dapat dilaksanakan dan bakal memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia dengan menjadi pemangkin ekonomi bagi Kemaman, sekali gus melengkapi kawasan-kawasan lain sekitarnya yang sedang rancak membangun. – MalaysiaGazette