KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mengutuk tindakan Setiausaha Dalam Negeri United Kingdom, Priti Patel yang membuat usul di Parlimen untuk melabelkan entiti Hamas sebagai pengganas Muslim. 

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, tindakan tersebut melanggar nilai kemanusiaan dan setiap individu bebas menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak.

“Lebih-lebih lagi kepada rakyat di Palestin yang sentiasa diperangi dan ditindas serta hak-hak mereka dirampas oleh pihak zionis. Apa yang sedang cuba ditonjolkan oleh kerajaan United Kingdom ini? Cuba lakukan sekatan kebebasan terang-terangan.

“Jangan cuba buat ugutan dengan beri hukuman penjara kepada sesiapa yang beri sokongan kepada pergerakan ini. Kita di MHO memang cukup terkesan, kecewa dan mengutuk habis-habisan tindakan ini,” katanya sambil menambah Hamas merupakan sebuah parti politik di Palestin dan tiada kaitan dengan keganasan.

Tambah beliau, Hamas adalah barisan pembebasan nasional dengan matlamat membebaskan Palestin daripada penjajah Zionis.

Kenyataan Patel mendapat sokong kuat Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett dan memberikan penghargaan kepada Perdana Menteri United Kingdom, Boris Johnson di atas kepimpinannya.

Hishamuddin berkata, Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf perjuangan anti-penjajahan rakyat yang hidup di bawah pemerintahan asing.

“Untuk makluman, resolusi perhimpunan agung PBB 37/43 tahun 1982 menegaskan semula legitimasi perjuangan rakyat untuk kemerdekaan dan pembebasan daripada penjajahan dan penguasaan asing.

“Juga pendudukan asing dengan segala cara yang ada, termasuk perjuangan bersenjata, penentangan Hamas terhadap penjajah Zionis serta pendudukan mereka adalah sah di sisi perundangan.

“Hamas bukan organisasi pengganas, sebaliknya Israel itu adalah negara pengganas,” ujarnya.

Katanya, United Kingdom telah melakukan kesilapan besar dengan menunaikan Zionis yang mana ia bukannya kepentingan rakyat British. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here