MELAKA – Seorang lelaki ditemukan lemas dipercayai akibat tergelincir ke dalam Sungai Malim di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa dipercayai lelaki India berusia lewat 30-an sebelum itu dilihat berjalan dalam keadaan mundar-mandir di tebing sungai terbabit.
Menurutnya, kejadian kira-kira jam 8.20 lagi disedari orang awam yang membuat panggilan kecemasan berlaku kes orang hanyut di Sungai Malim berdekatan Taman Asean sebelum mayat ditemui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dua jam kemudian.
“Menurut saksi kejadian yang sedang memancing, si mati sebelum itu dilihat berjalan dalam keadaan mundar-mandir di tepi sungai terbabit sebelum turun ke tebing tanpa mengetahui tujuannya.
“Mangsa bagaimanapun dipercayai tergelincir apabila saksi melihatnya terkapai-kapai meminta tolong sebelum tenggelam dua minit kemudian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Christopher, sepasukan anggota JBPM kemudian memulakan operasi mencari dan menyelamat sebelum mangsa ditemui pada jam 10.30 pagi kira-kira 15 meter dari tebing sungai.
“Pemeriksaan ke atas mayat lelaki dipercayai berketurunan India berusia lewat 30 an yang lengkap berpakaian baju T dan seluar jeans hitam mendapati tiada unsur-unsur jenayah.
“Mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat,” katanya.- MalaysiaGazette