Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin meninjau kawalan harga ayam sempena Kempen Jualan Keluarga Malaysia peringkat Selangor di Pasar Raya Besar AEON Big Ampang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 16 JANUARI 2022.

AMPANG – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuniti berpuas hati dengan Kempen Jualan Keluarga Malaysia yang dijalankan pasar raya Aeon Big di sini yang menawarkan diskaun sehingga 30 peratus sejak Jumaat lalu.

Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ketika rakyat terhimpit dengan pasca pandemik Covid-19, ia sedikit banyak dapat meringankan beban mereka apatah lagi menjelang sambutan Thaipusam dan Tahun Baharu Cina dalam masa terdekat.

“Aeon Big Ampang mengambil bahagian dalam Kempen Jualan Keluarga Malaysia kepada rakyat Malaysia yang nak menyambut Thaipusam, Pesta Ponggal dan Tahun Baharu Cina.

“Ini memudah dan meringankan beban rakyat dalam beli barangan asas.

“Saya lihat diskaun sangat lumayan sehingga 30 peratus, saya yakin rakyat memang menunggu program seperti ini,” katanya selepas membuat tinjauan harga barang keperluan di Pasar Raya Aeon Big di sini hari ini.

Beliau juga berharap agar penduduk setempat mengambil kesempatan ini untuk mendapatkan penjimatan harga barang lebih rendah berbanding harga pasaran.

“Saya harap rakyat Malaysia memanfaatkan jualan Keluarga Malaysia ini dan sudah tentu akan meringankan beban kewangan mereka dan akan dapat nilai wang.

“Dulu bawa RM100 dapat 10 barang sahaja tapi datang sini mungkin dalam 15 barang,” katanya.

Katanya lagi, Aeon Big antara pasar raya yang mempunyai rangkaian perniagaan di seluruh negara dan diskaun yang ditawarkan itu boleh dinikmati semua rakyat Malaysia.

“Aeon sebenarnya sangat mudah diakses dan kedudukan sangat strategik membolehkan rakyat Malaysia berpendapatan rendah untuk nak menikmati harga jualan dengan diskaun lumayan ini,” katanya.

Beliau turut tidak menafikan Kempen Jualan Keluarga Malaysia merupakan satu inisiatif yang sangat dekat dengan denyut nadi rakyat khususnya selepas pasca banjir dan pandemik.

“Kita amat hargai inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dan KPDNHEP yang faham tentang naluri rakyat yang faham tentang kesusahan rakyat dengan membuat kempen ini.

“Kita terima kasih kepada Aeon yang sanggup sama-sama sambut program ini dan pekedai-pekedai yang sanggup turunkan harga agar semua orang dapat manfaat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast