KUANTAN – Sembilan individu antara yang ditahan dalam operasi Samseng Jalanan di sini kerana didakwa melakukan aksi menunggang motosikal secara berbahaya.
Mereka didakwa melakukan aksi Superman dan zig-zag sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Kommisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, operasi dijalankan berdasarkan maklumat dan risikan pihaknya.
Operasi dijalankan bermula 17 sehingga 18 Januari lalu oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Pengutkuasaan Trafik (BSPTD) Kuantan.
“Operasi menyasarkan lokasi panas lumba haram di Lebuh Raya Pantai Timur dari arah Tol Jabor menghala Tol Kuantan. Polis telah menahan sembilan lelaki berusia 16 sehingga 33 tahun bersama kerana menunggang dengan cara melakukan aksi Superman (meniarap), aksi menundukan kepala dan zig-zag.
“Aksi ini sangat merbahaya pada diri sendiri dan penguna jalan raya yang lain,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Wan Mohd Zahari, pihaknya turut merampas sembilan buah motosikal dan siasatan lanjut masih dijalankan mengenai kejadian itu.
“Operasi dan pemantauan akan dijalankan secara berterusan bagi membendung aktiviti tidak berfaedah yang melanggar undang-undang ini,” katanya.
Kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Trafik Kuantan dan kes disiasat dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette