MELAKA – Sepasang suami isteri berasal dari Kelantan yang tinggal di Kampung Tengah, Klebang di sini menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan pendidikan tiga anak mereka yang masih tidak mempunyai kad pengenalan diri sehingga kini.

Sheikh Aminudin Shah Mohamad, 33, dan isterinya Nurashikin Mamat 27, mendakwa, nasib ketiga-tiga anak mereka, Amsyar Akisha, 6, Baqrul Shah, 4 dan Rozi Helmi, tujuh bulan kini diibaratkan seperti ‘warga asing’ di bumi sendiri.

Menurut Nurashikin, nasib menimpa anaknya itu berpunca apabila beliau dan suaminya gagal melengkapkan proses pendaftaran kelahiran anak-anaknya itu menyebabkan mereka tidak mempunyai Mykad yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Sedih juga kerana saya tidak mempunyai kad pengenalan sebaliknya cuma ada bukti bidan yang menyambut kelahiran saya di Kelantan 27 tahun lalu sebelum berkahwin dengan suami di Thailand.

“Peliknya, semua sembilan adik beradik saya termasuk lima adik mempunyai kad pengenalan kecuali saya yang mungkin berpunca daripada ibu bapa yang tidak melengkapkan daftar kelahiran saya.

“Sekarang ini, saya bimbang terhadap nasib ketiga-tiga anak yang tiada Mykid, terutamanya anak sulung yang akan mula bersekolah tahun depan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Menurut suri rumah itu, dengan pendapatan suami yang tidak menentu sekitar RM300 ke RM500 sebulan sebagai pekerja buruh, dia juga tidak mampu menghantar anak bongsunya mendapatkan suntikan pelalian wajib di hospital kerajaan.

“Tanpa Mykid, setiap kali mahu mendapatkan suntikan pelalian suami terpaksa membayar RM80, sama seperti bayaran dikenakan terhadap warga asing menyebabkan kami tidak mampu lagi menghantar anak ke hospital.

“Kalau anak-anak demam dan sakit pun, kami akan ikhtiar sendiri untuk berubat kerana pendapatan yang ada hanya cukup-cukup makan buat kami lima beranak,” katanya.

Sementara itu, sidang kampung berkenaan, Hamzah Ibrahim berkata, beliau telah mengemukakan permasalahan yang dihadapi kepada JPN Melaka dan akan berusaha untuk membantu Nurasyikin dan ketiga-tiga anaknya.

“Setakat ini, kita sedang mengumpul semua bukti daripada adik beradik lain termasuk dokumen-dokumen lain berkaitan sebelum diserahkan kepada JPN untuk tindakan lanjut,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast