PUTRAJAYA – Pengguna jalan raya perlu diberikan pilihan untuk menggunakan kaedah pembayaran dan tidak menghadkan kepada satu paltform sahaja di plaza tol bagi memudahkan perjalanan mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bagi mengelakkan kaedah pembayaran tol itu memberi tekanan dan menyekat kebebasan pengguna untuk memilih kaedah yang lebih sesuai.
“Kita bincang tadi dalam Kabinet, pengguna jalan raya mesti diberikan pilihan, seperti dulu waktu Touch n Go diperkenalkan kita menggunakan tunai untuk bayaran di tol.
“Sekarang ini kita nak perkenalkan, cadangan itu bagus tapi dari segi pengguna, mereka mesti diberikan pilihan sama ada nak guna pelekat Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), Touch n Go atau Smart Tag.
“Kita tidak mahu ada tekanan kepada pengguna jalan raya beri mereka kebebasan memilih,” katanya kepada pemberita di Marriot Hotel, di sini, malam ini.
Isnin lalu, masih ada pemilik kenderaan menggunakan pelekat RFID berdepan kesulitan ketika melalui plaza tol, malah ada beberapa pengguna terpaksa mengundurkan kenderaan mereka selepas sistem RFID gagal mengesan pelekat yang ditampal pada bahagian hadapan kenderaan.
Dalam pada itu, Ismail Sabri juga mengingatkan syarikat pemegang konsesi lebuh raya agar tidak meletakkan RFID di semua lorong plaza tol.
“Jangan semua RFiD, kalau kita beri pilihan, kalau ada 10 lorong mungkin beberapa lorong untuk RFiD dan selebihnya masih lagi Touch n Go dan Smart Tag.
“Saya dimaklumkan ia sebagai projek pilot untuk beberapa bulan, serahkan kepada pengguna untuk membuat pilihan akhir, kalau mereka merasakan RFiD memudahkan perjalanan mereka, mereka boleh berpindah kepada RFiD,” katanya.
Perdana Menteri turut memberi amaran kepada syarikat konsesi di negara agar merujuk sesuatu polisi baharu melibatkan pembayaran tol ke Kabinet sebelum dilaksanakan.
“Saya minta Menteri Kerja Raya untuk memanggil syarikat pemegang konsesi ini untuk berbincang
“Kita juga buat keputusan untuk akan datang ini kalau ada melibatkan bayaran kepada rakyat dan sebagainya, rujuk kepada Kabinet,” katanya lagi. – MalaysiaGazette