NIBONG TEBAL – Penduduk sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPS) diminta mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran sekiranya mengalami simptom sakit kerongkong, sesak nafas serta pedih mata yang dipercayai kesan daripada kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung di sini.
Pegawai Kesihatan Daerah SPS, Dr. Chow Sze Loon berkata, rawatan itu membolehkan pihak berkaitan mengenal pasti sejauh mana kesan ancaman kesihatan kepada penduduk disebabkan jerebu yang berpunca daripada kebakaran di tapak tersebut.
Jelas beliau, tiada penduduk di Kampung Kebun Baru serta Ladang Byram dikesan menghidap apa-apa simptom berkenaan setakat ini.
“Kita juga telah melakukan ujian calitan Covid-19 terhadap penduduk yang tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan tiada seorang pun didapati positif ataupun kontak rapat.
“Bagaimanapun, sejak 12 Januari hingga petang tadi seramai 337 individu yang tinggal di sekitar daerah ini dirawat sebagai pesakit luar membabitkan enam klinik kesihatan di daerah ini serta Hospital Sungai Bakap susulan sakit kerongkong, pedih mata serta sesak nafas yang dipercayai akibat jerebu.
“Namun, kita tidak boleh mengesahkan kesemua pesakit itu berdepan masalah tersebut disebabkan kebakaran tapak pelupusan sampah,” katanya pada sidang media di Jawi hari ini.
Sehubungan itu, Sze Loon menyarankan orang ramai yang berdepan masalah kesihatan segera ke klinik kesihatan untuk rawatan lanjut. – MalaysiaGazette