Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman beramah mesra beramah mesra dengan sebahagian pemenang hadiah Universiti selepas sidang media sempena Majlis Konvokesyen ke-44 Tahun 2022 di Bangunan Canselori Putra, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini menepis dakwaan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin yang mendakwa universiti-universiti ulung dunia hanya melahirkan graduan doktor falsafah (PhD) di bawah 10 orang setahun berbanding universiti ini hampir 400 orang baru-baru ini.

Dalam kenyataan panjangnya, UPM menyifatkan dakwaan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang dilaporkan oleh media semalam adalah adalah tidak benar.

Ini kerana berdasarkan maklumat yang diperolehi dari laman web rasmi, Massachusetts Institute of Technology (MIT) pada tahun 2020 telah mengeluarkan 563 graduan PhD manakala Universiti Harvard telah mengeluarkan 572 graduan PhD.

Dari segi ranking dunia, MIT berada pada kedudukan pertama manakala Harvard University berada pada kedudukan kelima dalam QS World University Ranking 2022.

Untuk rekod, majlis konvokesyen ke-44 UPM yang diadakan baru-baru ini melibatkan seramai 398 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), sarjana (1,093 orang), sarjana muda (3,544 orang) dan diploma (660 orang).

Sambil menyifatkan laporan media yang memetik kenyataan Shamsul Iskandar sebagai mengelirukan dan tidak tepat, UPM berkata, kaedah pengajian PhD di UPM adalah melebihi syarat minimum yang telah ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi memastikan kualiti graduan yang dihasilkan oleh UPM sentiasa dijaga dengan baik.

”Ingin ditegaskan, jumlah graduan Ph.D. yang dikeluarkan oleh UPM bagi konvokesyen kali ke-44 bagi kohort pelajar 2020 merupakan hasil pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan yang berkualiti tinggi, serta telah dinilai di peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi menjamin kualiti sebagai bukti pendidikan tinggi di Malaysia adalah diiktiraf dan setaraf dengan amalan di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan itu.

Jelasnya, tempoh pengajian PhD adalah dalam lingkungan tiga hingga lima tahun yang mana pelajar yang mengikuti pengajian ini wajib untuk membuat penyelidikan dan mengikuti minimum 12 jam kredit kursus.

Selain itu, pelajar perlu membuat pembentangan cadangan penyelidikan dan lulus peperiksaan komprehensif yang dinilai oleh panel sebelum tahun kedua bagi melayakkan mereka untuk meneruskan pengajian.

Pelajar juga perlu menghasilkan tesis yang merupakan syarat wajib lulus untuk dianugerahkan PhD.

Tesis pelajar pula dinilai oleh sekurang-kurangnya tiga orang penilai yang terdiri daripada seorang penilai luar (universiti luar negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan sebagainya) dan dua lagi penilai dalaman, serta perlu lulus peperiksaan viva voce.

Selain itu, Senat UPM juga menetapkan dua penerbitan jurnal berindeks (Citation Indexed Journal) sebagai syarat bergraduat bagi memastikan kualiti penyelidikan graduan PhD. yang dihasilkan.

Universiti itu menegaskan, ia mempunyai kekuatan tenaga akademik berkelulusan PhD. seramai 1,649 orang yang layak menyelia pelajar PhD, mencerminkan kemampuan universiti dalam menghasilkan graduan PhD. dengan merujuk kepada amalan terbaik di peringkat antarabangsa.

Jumlah graduan PhD. yang dikeluarkan oleh UPM merupakan bilangan yang lazim dikeluarkan oleh Universiti Penyelidikan selari dengan amalan terbaik universiti terkemuka dunia yang  mana enrolmen pelajar PhD merupakan indikator kecemerlangan sesebuah universiti.

UPM sebagai salah satu Universiti Penyelidikan di Malaysia tidak ketinggalan dalam terus menyumbang meningkatkan penyelidikan dan mengeluarkancmodal insan yang berilmu dan berkualiti tinggi. – MalaysiaGazette

Hairan UPM anugerahkan 400 PhD tahun ini – PKR