Sidang Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR – Sesi penerangan Perdana Menteri mengenai bencana banjir pagi ini gamat dengan suara tidak puas hati ahli Parlimen pembangkang selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ‘memulangkan paku buah keras.’

Ketika menjelaskan situasi bencana banjir penghujung tahun 2021, kedengaran suara daripada blok pembangkang menuduh beliau tidak turun padang pada hari pertama banjir berlaku.

Menurut Perdana Menteri, beliau sejak hari pertama banjir sudah berada di beberapa lokasi banjir di Selangor termasuk di Bukit Lanchong, Putra Heights, Telok Gong dan beberapa pusat pemindahan banjir sementara (PPS) di Shah Alam dan Klang.

“Sepanjang di lokasi, saya tak nampak ahli-ahli Parlimen dan ADUN (pembangkang) bekerja waktu malam.

“Ada beberapa ahli Parlimen pembangkang hilang ketika itu sedangkan saya hari pertama sampai malam berada di lokasi banjir bersama mangsa dan penduduk.

“Saya juga turun ke Puchong,” katanya dalam sesi penerangan mengenai banjir pada Mesyuarat Khas Keempat Penggal ke-14 Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo tidak berpuas hati dengan penjelasan Ismail Sabri dan mempersoalkan kenapa beliau tidak dijemput.

Menurut Perdana Menteri, banjir adalah bencana alam yang berlaku tanpa dijangka dan sepanjang beliau turun ke kawasan itu, tiada jemputan kepada ahli Parlimen dibuat.

“Banjir ni kecemasan, tak sempat nak jemput YB (Puchong).. dan tiada jemputan dikeluarkan,” katanya.

Menurutnya, beliau juga tidak sepatutnya mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Selangor kerana sudah ada jawatankuasa yang telah diwujudkan di setiap negeri.

Jawapannya itu membangkitkan rasa tidak puas hati Abdul Khalid Samad (Shah Alam-Amanah) yang mencelah bertanya siapa sepatutnya mempengerusikannya.

Secara berseloroh, Ismail Sabri menyatakan, Ahli Parlimen Shah Alam juga dikatakan hilang dan tiada dalam radar ketika itu.

Ini menimbulkan kemarahan beberapa ahli Parlimen pembangkang yang meminta Perdana Menteri tidak bercakap secara sindiran.

“Kalau (Khalid) turun padang, baguslah..,” kata Ismail Sabri tenang selepas itu.

Ketika itu suasana bingit dan gamat dalam dewan bagaikan suasana pasar dengan suara jeritan dan pekikan pembangkang, yang terasa dengan sindiran dilontarkan Perdana Menteri ke atas mereka.

Keadaan cuba ditenangkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dengan ‘mematikan’ pembesar suara di meja beberapa ahli Parlimen pembangkang kerana mengganggu sesi penerangan Perdana Menteri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast