Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 20 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengeluarkan sebanyak enam kali amaran cuaca signifikan yang boleh menyebabkan hujan lebat berterusan berlaku, dedah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Malangnya, kata beliau, amaran cuaca itu tidak diendahkan oleh sesetengah pihak yang terlibat secara langsung dalam pengurusan bencana kerana andaiannya hanya Pantai Timur sahaja yang akan terjejas akibat luruan monsun.

Kata beliau, persediaan bagi menghadapi musim tengkujuh juga lebih banyak tertumpu kepada negeri di Pantai Timur dan banjir luar biasa di Selangor yang berlaku di luar jangkaan banyak pihak.

“MET Malaysia telah pun mengeluarkan amaran hujan berterusan bagi Kategori Merah iaitu kategori bahaya pada 18 Disember 2021, susulan hujan lebat berterusan di kebanyakan wilayah di Semenanjung Malaysia.

“Angin Monsun Timur Laut (MTL) yang sepatutnya bertiup ke Laut Andaman telah melalui Selat Melaka ekoran sistem tekanan rendah di perairan tersebut. Keadaan ini telah mencetuskan hujan lebat yang luar biasa terutamanya di Selangor.

“Banjir di Selangor bermula 18 Disember 2021 telah berlaku akibat daripada jumlah purata taburan hujan luar biasa iaitu 380 milimeter pada hari tersebut yang menyamai jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan,” katanya di Parlimen hari ini.

Berikutan keadaan banjir luar biasa yang tidak disangka itu, katanya, situasi kelam kabut berlaku pada hari pertama pengurusan banjir di Selangor, menyebabkan pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk menjalankan operasi kerana berlaku kompleksiti banjir bandar.

Malah, katanya, pengurusan banjir di Selangor masih tidak menunjukkan perubahan ketara pada hari kedua dan ketiga sehingga menyebabkan ketidakpuasan hati mangsa berikutan kelewatan operasi menyelamat dan penghantaran bantuan.

“Menyedari situasi banjir yang kritikal di Selangor, pada malam 18 Disember itu, saya bergegas ke Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) bagi mendapatkan maklumat dan mengetahui situasi sebenar di lapangan melalui penerangan oleh Ketua Pengarah NADMA.

“Saya sendiri menghubungi Panglima Angkatan Tentera, Panglima Tentera Darat dan Ketua Polis Negara bagi menggerakkan anggota dan aset tambahan milik masing-masing ke Selangor.

“Ini bagi membantu Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta lain-lain agensi yang sedang giat melaksanakan operasi menyelamat. Ini kerana sebahagian besar aset seperti bot penyelamat telah siap sedia ditempatkan di negeri lain khususnya Pantai Timur yang dijangkakan berisiko berdepan dengan banjir besar,” katanya.

Menurutnya, susulan itu, PAT mengarahkan Panglima 11 Briged untuk serta-merta mengatur gerak anggota dan aset tambahan ke kawasan terjejas, manakala IGP mengarahkan tambahan anggota dan aset dari negeri berhampiran untuk membantu pasukan sedia ada.

“Sejurus selesai di NDCC, saya telah melakukan tinjauan situasi banjir di Kampung Bukit Lanchong, Putra Heights sehingga lewat malam.

“Keesokannya pada 19 Disember, saya melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Telok Gong, Klang dan PPS Sekolah Kebangsaan Johan Setia.

“Berikutan kelewatan operasi menyelamat dan penghantaran bantuan yang diselaraskan oleh JPBN dan JPBD di Selangor sehingga mendapat reaksi negatif daripada rakyat, saya telah mengambil keputusan untuk mempengerusikan beberapa siri mesyuarat,” katanya.

Kata beliau, PDRM, JBPM, ATM dan APM sebenarnya telah menggerakkan pasukan masing-masing bagi memindahkan mangsa, namun menghadapi kesukaran kerana suasana yang semakin gelap dan terdapat ramai mangsa masih enggan meninggalkan kediaman mereka ketika itu.

“Kejadian banjir yang berlaku ini melebihi kemampuan jentera tindak balas JPBN Selangor. Selangor juga jarang berdepan dengan banjir besar luar biasa seperti kali ini.

“Biarpun amaran hujan berterusan dikeluarkan, impak taburan hujan yang tinggi ini, sangat tidak diduga oleh semua pihak.

“Sebagai contoh, meskipun penduduk di Taman Sri Muda, Shah Alam sudah biasa berdepan banjir kilat akibat hujan lebat namun mereka tidak menyangka air akan naik begitu cepat dan tinggi pada kali ini,” katanya. – MalaysiaGazette