Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong .Foto MOHD ADZLAN, 15 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pemilik akaun Facebook dikenali sebagai Aemirulrizaki Rambli yang memuat naik kenyataan mengenai premis perjudian mula beroperasi secara berleluasa di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan selepas pertukaran Ketua Polis Daerah didakwa di Mahkamah Majistret Klang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, lelaki berusia 42 tahun itu dituduh mengikut Seksyen 233 (1)(a)(i) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana kesalahan membuat kenyataan jelik melalui media sosial.

“Pada 24 November lalu, Polis Klang Selatan telah mengesan satu kenyataan tular di laman sosial Facebook oleh pemilik akaun bernama Aemirulrizaki Rambli yang mengatakan premis berunsurkan perjudian telah mula beroperasi secara berleluasa di kawasan pentadbiran IPD Klang Selatan berikutan pertukaran Ketua Polis Daerah Klang Selatan.

“Sehubungan itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan telah membuka Kertas Siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Suspek telah pun dituduh pada hari ini di Mahkamah Klang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah diminta tampil bekerjasama dengan pihak polis dan tidak sewenang-wenangnya membuat tohmahan tidak berasas yang boleh menjejaskan imej Polis Klang Selatan khususnya dan Polis Diraja Malaysia secara amnya. – MalaysiaGazette