Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak. foto MOHD ADZLAN, 08 NOVEMBER 2020. senior judge sexual harassment naked
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak. foto MOHD ADZLAN

KUALA LUMPUR – Gara-gara berhutang sehingga RM151,000, seorang warga asing diculik oleh tiga lelaki dalam kejadian di Taman Cahaya, Pandan Jaya, Ampang, dekat sini, kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, isteri mangsa yang merupakan seorang wanita warga asing berusia 41 tahun memaklumkan menerima satu panggilan telefon daripada suaminya pada pukul 12.01 tengah malam.

Jelasnya, menerusi panggilan itu, mangsa memberitahu dia berada di Shah Alam selepas dipercayai diculik oleh beberapa lelaki warga asing.

“Mangsa telah diarahkan oleh suspek untuk meminta daripada pengadu (isteri) supaya membayar sejumlah RM5,000 untuk dibebaskan.

“Namun, pada hari yang sama sekitar pukul 5.55 petang sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah berjaya memberkas dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing di sebuah restoran di Taman Cempaka, Ampang.

“Mangsa berusia 43 tahun turut diselamatkan dan didapati mengalami bengkak pada bahagian muka akibat dipukul,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 26 hingga 40 tahun itu kini direman selama empat hari bermula semalam sehingga Sabtu ini.

Katanya, punca kejadian dipercayai akibat masalah hutang kerana mangsa mengenali suspek terbabit.

“Siasatan awal mendapati mangsa mengenali suspek kerana pernah berurusan sebelum ini namun siasatan lanjut kes masih dijalankan,” ujarnya.

Tambah Mohamad Farouk, semakan mendapati hanya seorang suspek warga tempatan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan hasil saringan air kencing kesemua suspek adalah negatif.

Selain itu katanya, warga asing yang ditahan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah manakala usaha mengesan suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette