KUALA LUMPUR – Kerajaan diseru mengembalikan Malaysia sebagai negara demokrasi dan tidak menyerahkan hala tuju ekonomi negara kepada golongan taikun dan jutawan.

Pengerusi Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahya menegaskan, definisi demokrasi iaitu dari rakyat, untuk rakyat, kepada rakyat kini seolah-lah sudah tidak lagi wujud.

“Sekarang ini sistem negara plutokrasi. Dari rakyat, untuk taikun kepada taikun,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan kerajaan yang dikatakan tidak menghiraukan memorandum-memorandum yang diserahkan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan berkenaan isu-isu berkaitan rakyat.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru kerajaan supaya lebih memikirkan nasib rakyat yang kini dibebani masalah ekonomi termasuklah jurang perbezaan pendapatan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera yang semakin ketara.

“Kita dibentangkan tadi bahawa berapa puluh tahun lagi jurang itu menjadi RM30,000 antara Bumiputera dengan Bumiputera,” katanya semasa sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) bersama Rakan Media hari ini.

Kenyataan itu juga dilontarkan sebagai peringatan kerana katanya, rakyat boleh mengubah pemimpin negara sekiranya mereka mahu.

Lantaran itu, katanya, sistem politik termasuk barisan pemimpin negara perlu berubah untuk menjernihkan segala kecelaruan ekonomi dan pemerintahan ketika ini. – MalaysiaGazette