Nusrat Ghani. foto FB Nus Ghani

LONDON – Seorang bekas menteri Britain mendakwa beliau dipecat daripada jawatan dalam Kerajaan Konservatif Perdana Menteri Boris Johnson kerana dia seorang Islam dan menyebabkan rakan sekerjanya tidak selesa, lapor Sunday Times.

Nusrat Ghani, 49, yang hilang jawatannya sebagai menteri pengangkutan rendah pada Februari 2020 memberitahu akhbar itu, beliau dimaklumkan oleh seorang penguatkuasa disiplin parlimen bahawa “keIslamannya” telah dibangkitkan sebagai isu pemecatannya.

Setakat ini tiada ulasan daripada Pejabat Downing Street.

Tetapi Mark Spencer, ketua Whip kerajaan berkata, beliau adalah individu yang didakwa oleh Ghani.

“Tuduhan ini adalah palsu sama sekali dan saya menganggapnya sebagai fitnah. Saya tidak pernah menggunakan perkataan yang dikaitkan dengan saya,”  kata Spencer melalui Twitter.

Skandal itu telah menghilangkan sokongan orang ramai terhadap Johnson secara peribadi dan partinya, hingga mencetuskan krisis paling serius bagi jawatan perdana menteri yang disandangnya.

“Saya diberitahu bahawa pada mesyuarat rombakan di Downing Street dengan ‘keIslaman’ telah dibangkitkan sebagai isu, bahawa status ‘menteri wanita Islam’ saya menyebabkan rakan sekerja tidak selesa,” akhbar itu memetik kenyataan Ghani, menteri wanita Islam pertama Britain sebagai berkata.

Dalam maklum balasnya, Spencer berkata, Ghani enggan meletakkan perkara itu kepada siasatan dalaman rasmi apabila dia mula-mula membangkitkan isu tersebut Mac lalu.

Parti Konservatif sebelum ini menghadapi tuduhan Islamofobia dan laporan pada Mei tahun lalu mengkritiknya berhubung cara ia menangani aduan diskriminasi terhadap umat Islam.

Laporan itu juga menyebabkan Johnson mengeluarkan permohonan maaf untuk sebarang kesalahan yang disebabkan oleh kenyataan masa lalunya tentang Islam, termasuk ruangan akhbar yang mana beliau merujuk wanita memakai burqa sebagai “seperti kotak surat”.

Pemimpin Parti Buruh, Keir Starmer berkata, Konservatif mesti menyiasat Ghani dengan segera.

“Kenyataan beliau  mengejutkan untuk dibaca,” katanya di Twitter. – Reuters