KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang meneliti kaedah terbaik untuk menutup lubang di kolam biru River Of Life (ROL) di sini bagi memastikan keselamatan pengunjung.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ketika ini, DBKL sudah mengambil langkah dengan menutup lubang berkenaan menggunakan papan platform serta penghadang jalan di kawasan terbabit buat sementara waktu.
“Bahagian kolam biru yang berlubang itu tidak rosak atau runtuh sebaliknya reka bentuk itu sudah bertahun dibina untuk pengunjung melihat kejernihan air bersih di ROL.
“Selalunya kalau mereka bawa anak kecil mereka akan dukung tetapi disebabkan telah ada kes kanak-kanak terjatuh di kawasan itu kita akan tutup buat sementara,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baru Cina di Pusat Komuniti Bandar Baru Sentul hari ini.
Sebelum ini tular di media sosial video berdurasi 47 saat seorang wanita sempat merakam insiden yang berlaku kepada anak saudaranya ketika bersiar-siar di ROL.
Video itu memaparkan kanak-kanak itu sedang berjalan kemudian terjatuh ke dalam lubang besar antara tebing dan pagar penghadang di tepi sungai.
Bagaimanapun, kanak kanak itu sempat diselamatkan oleh ayahnya yang melompat ke dalam kolam berkenaan.
Tambah Shahidan, tujuan sebenarnya ruangan itu dibina adalah untuk memperlihatkan kepada pengunjung berhubung pembersihan dan pengindahan air sungai yang bersih yang mampu dihasilkan di Wilayah Persekutuan.
Kolam Biru yang berada di kawasan pertembungan antara Sungai Klang dan Sungai Gombak merupakan sebahagian daripada komponen projek RoL, dibuka kepada orang ramai pada 2017 sebagai tarikan pelancong di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette