SERDANG – Sebanyak lima buah kereta yang diletakkan berhampiran deretan rumah kedai di Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, di sini, rosak selepas berlaku pemendapan serta runtuhan tanah hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tanah runtuh itu pada jam 6.38 petang.
Katanya, bertindak atas panggilan itu, seramai enam pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Serdang telah bergegas ke lokasi kejadian.
“Sejurus tiba di lokasi, pemerhatian bomba mendapati berlaku pemendapan tanah berhampiran longkang sehingga mengakibatkan lima kenderaan pelbagai jenis yang diberhentikan di tempat itu turut ‘tenggelam’ bersama dalam runtuhan itu dan mengalami kerosakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Norazam, pemeriksaan lanjut mendapati tiada kemalangan jiwa atau mangsa terperangkap dalam insiden pukul 6.30 petang itu.
“Kita sedang menjalankan permantauan rapi di lokasi kejadian pemendapan serta runtuhan tanah itu untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Beberapa saksi awam mendakwa kejadian berlaku begitu pantas yang bermula dengan rekahan kecil sebelum pergerakan tanah berlaku.
Difahamkan sebelum kejadian berlaku, hujan lebat melanda di kawasan tersebut dan keadaan arus deras di parit berhampiran lokasi tanah runtuh itu.
Menurut bomba, berdasarkan saksi di lokasi sebanyak lapan buah kereta berjaya dialihkan sebelum tanah runtuh. – MalaysiaGazette