Amar Makruf. Foto Twitter Amar.

KUALA LUMPUR – Pemain muda negara kelahiran Dungun, Terengganu, Amar Makruf menandatangani kontrak bersama kelab divisyen kedua liga bola sepak Sepanyol, AD Alcorcon.

Berita itu diumumkan sendiri oleh Amar menerusi laman media sosial Instagram miliknya yang mana dia ditawarkan kontrak profesional selepas lapan bulan beraksi bersama skuad B-23 tahun kelab tersebut.
Sebelum ini, Amar dan seorang lagi pemain, Anas Nadawi menyertai salah satu akademi bola sepak yang berpangkalan di Valencia, The Next Generation Sports, pada Disember 2020.

Setelah menampilkan prestasi cemerlang bersama akademi tersebut, Amar menyertai akademi Alcorcon pada April 2021.

Dia kemudiannya diserapkan ke dalam skuad B-23 tahun yang beraksi dalam saingan Tercera División yang merupakan liga divisyen keempat dalam piramid bola sepak Sepanyol.

Kini Alcorcon menghuni tangga tercorot dalam saingan Segunda Division dengan mengutip 12 mata selepas mengharungi 24 perlawanan.

Ini merupakan peluang keemasan bagi Amar untuk menampilkan prestasi terbaik, sekaligus mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan dan meraih pengalaman sebanyak mungkin dengan beraksi di salah satu liga terbaik di dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast