Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed bersama Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor menunjukkan buku yang telah dilancarkan pada Majlis Pelancaran Buku dan Logo Baharu UKM-GSB di Hotel Double Tree, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 25 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Antara penekanan utama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) adalah untuk memastikan Malaysia menjadi negara yang berdaya saing dan berpendapatan tinggi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, untuk mencapai matlamat itu, negara memerlukan modal insan yang berkualiti dan terbaik.

Menurut beliau, peranan penting itu perlu dimainkan pihak universiti sambil berharap institusi pengajian tinggi di negara ini menjadi lebih agresif membangunkan modal insan bertaraf global.

“Untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, negara memerlukan lebih pelaburan berpendapatan tinggi dan kita perlukan modal insan yang lebih tinggi kemahirannya.

“Kita perlukan suasana politik yang lebih matang dan perlu pastikan kualiti hidup seperti pendidikan dan kesihatan yang lebih baik. Dan banyak lagi yang sedang dirangka kerajaan untuk menjadi Malaysia sebagai negara berdaya maju dan berpendapatan tinggi dan sudah pasti universiti memainkan peranan penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran logo baharu dan buku-buku oleh Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) di DoubleTree by Hilton Putrajaya Lakeside Hotel di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman.

Sementara itu, Mustapa juga menyifatkan penghasilan buku-buku ilmiah bukan sahaja membuktikan kewibawaan penulisnya.

Sebaliknya ia juga boleh dijadikan sumber rujukan kepada para ahli akademik dan kumpulan profesional dan pentadbiran.

“Syabas saya ucapkan kepada barisan penulis-penulis buku dan semoga terus berjaya dalam menghasilkan buku-buku yang menjadi sumber rujukan kepada semua.

“Pada masa sama, UKM-GSB telah ditubuhkan pada 1 Oktober 2007 iaitu 15 tahun yang lalu dan dengan pelancaran logo baharu ini , saya berkeyakinan akan ada perubahan baru yang dilakukan bukan sahaja pada logo tetapi juga dari segi menyuntik semangat warga UKM-GSB untuk mencapai visi, misi dan matlamat usaha memacu pusat ini ke arah yang lebih cemerlang.

“Pada masa ini, UKM-GSB mempunyai jumlah pelajar pascasiswazah pengajian perniagaan tertinggi di Malaysia pada tahun 2021.

“Malah UKM juga telah berjaya meningkatkan pencapaian ranking kedudukan universiti terbaik dunia dari semasa ke semasa dan saya difahamkan bahawa ranking UKM pada tahun 2022 berada di tangga 144,” katanya. – MalaysiaGazette

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed (dua kanan) bersama Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor (kanan) beramah mesra dengan penulis buku selepas Majlis Pelancaran Buku dan Logo Baharu UKM-GSB di Hotel Double Tree, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 25 JANUARI 2022.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast