Seorang jurujual diperdaya dalam urusan jual beli jongkong emas menerusi panggilan telefon sehingga mengalami kerugian berjumlah RM147,500 pada Isnin lalu.-Gambar hiasan. Foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Seorang jurujual diperdaya dalam urusan jual beli jongkong emas menerusi panggilan telefon sehingga mengalami kerugian berjumlah RM147,500 pada Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu iaitu wanita tempatan berusia 26 tahun yang bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai emas di ibu negara.

Menurutnya, pengadu telah dihubungi oleh seorang pelanggan lelaki menerusi panggilan telefon di kedai emas tersebut yang menyatakan minat untuk membeli jongkong emas (gold bar).

“Pada hari yang sama, pelanggan terbabit telah membuat pembayaran menggunakan dua keping cek berjumlah RM147,000 untuk pembelian enam ketul jongkong emas seberat 500 gram.

“Semakan awal pengadu mendapati wang tersebut telah didebitkan ke dalam akaun syarikat dan pada Isnin serta Selasa yang lalu, rakan sekerja pengadu telah menyerahkan emas tersebut kepada pelanggan terbabit melalui syarikat penghantaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Namun Mohd Mahidisham berkata, pada Selasa, pengadu telah dimaklumkan oleh akauntan kedai emas tersebut bahawa cek yang diterima adalah cek tendang.

Tambahnya lagi, pengadu kemudiannya bertindak menghubungi pelanggan itu namun tiada sebarang jawapan.

Justeru, beliau menasihati orang awam agar tidak mudah terpedaya dan menyemak terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

Jika ada sebarang jenayah atau pun aktiviti yang mencurigakan, boleh hubungi CCID Infoline di talian 013-2111222 (WhatsApp) atau hubungi hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585, CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – MalaysiaGazette