Keadaan sebuah rumah yang musnah dilanda banjir dua hari lepas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hulu Langat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 20 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Jumlah keseluruhan kerugian akibat banjir di 11 negeri sebanyak RM6.1 bilion bersamaan 0.40 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar nominal.

Ia adalah hasil kajian yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan membabitkan negeri Johor, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor, Terengganu, Sabah, Sarawak, dan Kuala Lumpur.

Kajian ini bertujuan untuk menilai jumlah kerugian dan kerosakan akibat banjir yang melanda negara pada penghujung tahun 2021 dan awal tahun 2022. Kerugian ini meliputi nilai kerosakan tempat kediaman, kenderaan, premis perniagaan dan perindustrian.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, tempat kediaman mengalami kerugian sebanyak RM1.6 bilion, kenderaan RM1.0 bilion, pembuatan RM0.9 bilion, premis perniagaan RM0.5 bilion, pertanian RM90.6 juta dan aset awam & infrastruktur sebanyak RM2.0 bilion.

Dari segi tempat kediaman, Selangor mencatatatkan kerugian tertinggi berjumlah RM1.0 bilion, diikuti Pahang RM425.6 juta dan Melaka RM69.7 juta.

Bagi negeri Selangor, daerah yang mencatatkan kerugian tertinggi adalah daerah Petaling RM258.0 juta, diikuti Hulu Langat RM253.6 juta dan Klang RM252.8 juta.

Di Pahang, daerah Kuantan merupakan daerah tertinggi bagi kerugian tempat kediaman sebanyak RM197.4 juta, diikuti Temerloh, RM95.1 juta dan Bentong RM60.0 juta.

Seterusnya, daerah Melaka Tengah merekodkan kerugian tertinggi bagi negeri Melaka dengan jumlah RM60.8 juta, diikuti daerah Alor Gajah RM6.9 juta dan Jasin RM2.0 juta.

Bagi kenderaan, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, tiga negeri yang mencatatkan kerugian tertinggi adalah Selangor RM855.0 juta, Pahang RM78.2 juta, dan Negeri Sembilan RM18.3 juta.

Daerah yang mencatatkan kerugian tertinggi bagi kerosakan kenderaan di negeri Selangor adalah daerah Petaling RM328.3 juta, diikuti Klang RM276.9 juta dan Hulu Langat RM155.5 juta.

Sementara itu, Temerloh di Pahang mencatatkan kerosakan kenderaan tertinggi berjumlah RM44.8 juta diikuti Kuantan RM23.8 juta dan Bentong RM4.2 juta.

Daerah Jelebu merekodkan kerugian tertinggi bagi Negeri Sembilan RM5.2 juta, seterusnya daerah Port Dickson RM4.6 juta dan Seremban RM3.7 juta.

Dari segi kerosakan sektor pembuatan, Selangor merekodkan kerugian tertinggi di Malaysia berjumlah RM884.5 juta, diikuti oleh Pahang RM5.6 juta dan Negeri Sembilan RM1.2 juta.

Bagi negeri Selangor, Klang mencatatkan kerugian sektor pembuatan tertinggi dengan jumlah RM578.4 juta, diikuti Petaling RM301.5 juta dan Hulu Langat RM4.6 juta.

Di negeri Pahang, Bentong merupakan daerah tertinggi bagi kerugian sektor pembuatan berjumlah RM5.5 juta, dan Seremban mencatatkan kerugian pembuatan tertinggi bagi Negeri Sembilan berjumlah RM1.2 juta.

”Negeri Selangor mencatatkan jumlah tertinggi bagi kerugian premis perniagaan, berjumlah RM396.4 juta. Kerugian tertinggi bagi premis perniagaan di Selangor adalah daerah Petaling berjumlah RM193.6 juta diikuti daerah Klang RM82.4 juta dan Sepang RM55.1 juta.

”Pahang merupakan negeri kedua tertinggi bagi kerugian premis perniagaan dengan kerugian RM83.8 juta dan seterusnya negeri Johor RM13.8 juta. Bagi Pahang, Kuantan adalah daerah tertinggi dengan jumlah RM32.3 juta, diikuti Temerloh RM18.7 juta dan Bentong RM14.4 juta.

”Seterusnya, kerugian premis perniagaan di daerah Segamat, Johor berjumlah RM7.0 juta, diikuti daerah Tangkak RM2.8 juta dan Mersing RM1.4 juta,” katanya di sini.

Kajian-kajian lain yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan di negeri-negeri terkesan banjir turut dimuatkan di dalam laporan ini bertujuan untuk membantu pengguna memahami situasi banjir yang melanda negara. – MalaysiaGazette