Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kabinet memutuskan untuk tidak menaikkan tarif elektrik lebih sembilan juta pengguna domestik di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian dalam ciapan Twitternya petang ini.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan juga memutuskan untuk meneruskan subsidi sebanyak lebih RM700 juta agar pengguna-pengguna domestik tidak terkesan.

Sementara itu, Suruhanjaya Tenaga (ST) pula berkata, kerajaan telah bersetuju mengekalkan kadar tarif elektrik semasa bagi pengguna-pengguna domestik di Semenanjung Malaysia untuk tempoh kawal selia bermula pada 1 Februari 2022 hingga 31 Disember, 2024 di bawah mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR).

ST dalam laporan Bernama berkata kadar tarif ini yang telah digunakan sejak 1 Januari 2014 apabila mekanisme IBR diperkenalkan sebagai dasar baru dalam penetapan tarif elektrik dan keputusan itu juga terpakai kepada pengguna komersial dan industri.

“Bagi tempoh 1 Julai, 2021 hingga 31 Disdember, 2021, berlaku peningkatan dalam kos bahan api dan kos penjanaan lain sebanyak RM1.67 bilion, ekoran daripada kenaikan harga arang batu yang tinggi di pasaran sehingga mencecah US$200 per tan.

Oleh itu di bawah mekanisme mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang disemak setiap enam bulan, kerajaan turut memutuskan pelaksanaan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Februari hingga 30 Jun, 2022.

Ini termasuk pemberian rebat 2 sen/Kilowatt jam (kWj) dikekalkan kepada semua pengguna domestik dan tiada surcaj dikenakan dan untuk itu, tiada kenaikan tarif elektrik kepada pengguna pengguna domestik di Semenanjung.

Selain itu menurut ST, surcaj 3.70 sen/kWj dikenakan kepada semua pengguna bukan domestik seperti komersial dan industri.

“Bagi mengekalkan pemberian rebat dan tanggungan kos surcaj ICPT sepenuhnya kepada semua pengguna domestik, Kerajaan telah memperuntukkan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik sebanyak RM715 juta untuk menanggung kos tersebut,” jelasnya.

Menurut ST lagi di bawah mekanisme ICPT, kos bahan api dan kos penjanaan elektrik akan disemak setiap enam bulan dan dilepaskan kepada pengguna elektrik dalam bentuk rebat atau surcaj bergantung kepada penjimatan atau peningkatan kos yang terlibat.

“Kenaikan harga arang batu yang tinggi di pasaran menyebabkan kos penjanaan elektrik meningkat sebanyak 45 peratus dan memberi impak yang besar kepada tarif elektrik di Semenanjung kerana 59 peratus sumber penjanaan adalah arang batu.

“Peningkatan harga bahan api arang batu adalah di luar kawalan Kerajaan kerana ia adalah berasaskan harga pasaran global,” katanya.

Sebagai langkah untuk meminimumkan kesan kenaikan bil elektrik disebabkan oleh surcaj ICPT,  para pengguna elektrik di Semenanjung digalakkan melanggan Tarif Elektrik Hijau (GET) iaitu bekalan elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) supaya dapat menikmati pengecualian daripada surcaj ICPT elektrik untuk tempoh setahun, kata ST.

ST berkata pelanggan GET akan turut memiliki Sijil Tenaga Diperbaharui (REC) yang akan dapat membantu bagi memenuhi komitmen amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan menyokong agenda Tenaga Boleh Baharu negara.

Selain itu, pengguna boleh memanfaatkan Program Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) bagi membantu mengurangkan kos bil elektrik, katanya.

ST berkata pengguna turut digalakkan untuk melaksanakan langkah-langkah penggunaan elektrik dengan cekap antaranya melaksanakan audit penggunaan tenaga, membeli peralatan elektrik yang mempunyai penarafan 5-Bintang yang memberikan lebih banyak penjimatan elektrik, memastikan suis ditutup apabila tidak digunakan dan menggunakan peralatan elektrik dengan lebih cekap.- MalaysiaGazette