MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan program berimpak yang melibatkan rangkaian perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi perbincangan meja bulat industri UTeM-Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) 2022.
Program yang melibatkan 11 wakil industri itu diadakan di Kampus Teknologi UTeM, Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.
Timbalan Naib Canselor UTeM (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ir Dr Ghazali Omar berkata, program itu menjurus kepada perkongsian pengalaman dan maklumat universiti berkaitan keperluan industri, kerajaan dan profesion kejuruteraan dalam konteks kepakaran universiti tersebut serta perkembangan masa kini.
Jelasnya, ia turut melibatkan perbincangan peluang kerjasama, perkongsian pengalaman serta teknologi bersama PKS, agensi luar dan komuniti.
Menurut Ghazali, ia turut mensasarkan input bersama industri dan agensi luar bagi menerokai bidang baharu berkaitan pembangunan Internet of Thing (IoT) dan Revolusi Industri IR 4.0 yang boleh diterapkan di universiti dan komuniti setempat.
Sementara itu, Pengarah, Pusat Kolaborasi Industri dan Masyarakat UTeM, Prof. TS Dr Effendi Mohamad berkata, program tersebut mempromosikan bidang kepakaran universiti terbabit terutama dalam perundingan dan penyelidikan yang boleh dijalankan bersama bagi pembangunan sumber manusia menerusi latihan jangka pendek, program pemindahan ilmu (KTP) dan program kemasyarakatan berkaitan di samping IoT dan IR 4.0. – MalaysiaGazette