KUALA LUMPUR – Mengata UMNO bagaikan itik patah kaki adalah tuduhan berat namun ia bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana Pas pernah menuduh UMNO Thaghut, anti Islam, malah kafir pun pernah dilemparkannya.
Oleh itu, apabila Pas menuduh UMNO umpama “itik patah kaki” – itulah cara dan sikap Pas sejak dulu, kata Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Shamsul Anuar Nasarah.
Dakwa beliau, apa yang jelas, Pas dilihat mahu mengajar UMNO.
Disebabkan itu, katanya, mungkin juga punca Muafakat Nasional (MN) tidak sebagaimana seperti di awal penubuhan berpunca daripada sikap Pas sendiri.
”Apa yang jelas. Pas dilihat mahu mengajar UMNO. Kerana itu sebenarnya bukan UMNO yang mahu menjadi Abang Long. Sebaliknya Pas sendiri.
Namun saya yakin rakyat menilainya kerana rakyat punyai kebijaksanaan.
”Saya cuma hairan. Dalam keadaan mahu UMNO bersama, pimpinan UMNO dilabelnya dengan pelbagai gelaran. Sikap beginilah menjadi antara penyebab MN (Muafakat Nasional) menjadi hambar,” katanya dalam kenyataan di sini.
Justeru, eloklah Pas melihat diri sendiri memandangkan Pas memiliki ramai ilmuan dan ahli agama.
Jelasnya, Pilihan Raya Negeri Johor dilaksana berasaskan undang undang tubuh Kerajaan Johor, kemudian diperkenan pembubaran oleh Sultan Johor.
Justeru tuduhan PRN merupakan agenda pemimpin ‘Kluster Mahkamah’ dari UMNO dan mereka yang tidak berjawatan sangat tidak berasas serta tidak sepatutnya keluar daripada seorang “ilmuan” dan pemimpin utama parti yang kononnya berjuang untuk Islam.
UMNO dan Barisan Nasional sebuah parti yang bertanggungjawab kerana itu UMNO menyerahkan kembali kuasa kepada rakyat supaya mereka diberikan hak memilih kerajaan yang baharu atas kehendak dan mandat rakyat sendiri.
”Dan sekiranya UMNO tamakkan kuasa. Pasti UMNO BN tidak mahu dibubarkan DUN Johor? Bila PAS kata punyai kekuatan tersendiri. Keahlianya dikatakan 1 juta ahli dan mempunyai 197 kawasan. Mungkinlah betul.
”Maka jika Presiden Pas berkata tidak akan berdiam diri dan mempunyai strategi balas sekiranya UMNO terus menerus melakukan PRN maka kita menghormati pendirian Presiden Pas.
”Dan sesuai dengan amalan demokrasi kita tidak boleh menghalangnya. Lakukanlah jika itu pendirian Pas. Malah sekiranya Pas ingin lakukannya sekarang sesiapapun tidak boleh menghalangnya. Itu juga hak Pas.
”Hakikatnya tiada yang menghalang untuk Pas terus mendukung PN. Teruskanlah kerana ianya tidak salahpun. Pandangan Presiden Pas saya hormati biarpun dia menyatakan BN yang sudah tidak relevan. Kerana itu juga hak Presiden Pas untuk berkata begitu,” ujar Shamsul.
Bagaimanapun, tegas beliau, sama ada BN masih relevan atau tidak, biarlah rakyat yang menentukannya tetapi UMNO dan BN akan terus berusaha memastikan BN kembali kepada kedudukan asalnya.
Tambahnya, kemenangan BN dengan 21 kerusi di PRN Melaka boleh menjadi ukuran dan gambaran BN masih relevan atau tidak.
BN tidak bangga diri sebaliknya akan terus lipatgandakan usaha bekerja untuk negara dan rakyat.
Shamsul berkata, beliau tidak menafikan jika PN dikatakan parti “majmuk” tetapi BN sejak ditubuhkan sudah menggabungkan parti pelbagai kaum, realitinya BN lebih berpengalaman daripada PN dalam soal ini.
Cuma salah kalau Pas berkata BN tidak majmuk
Maka, PN janganlah mendabit dada kononnya hanya Pas saja yang menganjurkan perpaduan dan parti majmuk sebab kalau benar hanya Pas yang anjuran perpaduan jemputlah juga Parti Amanah Negara (PAN) bersama dalam PN.
Dan usahlah bagi alasan tidak boleh menerima PAN kerana parti itu masih bersama DAP sedangkan realitinya dalam sejarah politik Malaysia Pas pernah bersama dan tidur sebantal dengan DAP.
Yang tidak pernah bersama DAP hanyalah UMNO dan BN, inilah hakikat dan realitinya, ujar beliau. – MalaysiaGazette