Mohd Azmi Abdul Hamid. Foto AFFAN FAUZI, 13 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur tidak mahu bersemuka dengan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berhubung bantahan mengenai keganasan regim Israel yang meroboh rumah penduduk Syekh Jarrah di Baitul Maqdis.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya tidak dibenarkan masuk ke kedutaan berkenaan sebaliknya, hanya diminta memasukkan surat bantahan yang hendak diserahkan ke dalam peti surat.

Katanya, surat yang dihantar pada Jumaat lepas hanya dapat diserah melalui tingkap di bilik pengawal kedutan tersebut

“Saya telah menyatakan ketegasan bahawa AS adalah pengecut kerana tidak mahu surat bantahan diterima secara bersemuka…AS bersekongkol dengan Israel meroboh rumah pendudukan Palestin.

“Kami menyatakan bahawa AS tidak boleh diperbudakkan oleh Israel dengan mengabsahkan setiap perbuatan jenayah Zionis Israel dan warga Yahudi yang merampas dan memusnahkan ribuan kediaman Palestin,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Azmi mendakwa, Israel mempunyai pelan espansionis untuk merampas seluruh bumi Palestin dengan melanggar semua undang-undang antarabangsa.

Ujarnya, lebih 20 NGO Malaysia telah memperakui surat bantahan yang diserahkan itu.

“Kami menegaskan tindakan Israel mesti ditentang habis-habisan tanpa kompromi…Israel berhasrat membersihkan semua pendudukan Palestin dari Baitul Maqdis.

“Kami akan mengembleng seluruh masyarakat di peringkat nasional dan antarabangsa supaya keganasan Israel ditentang secara berterusan,” tambahnya. – MalaysiaGazette