BERKATA benar dalam keadaan biasa atau ketika kebenaran sedang berleluasa adalah mudah, malah boleh membuatkan kita tersenyum bangga dan puas. Seperti memandu di sebuah lebuh raya yang lapang tanpa bilangan kenderaan yang banyak, lapang dan tenang. Berbanding memandu dalam keadaan lalu lintas yang sesak, padat, hujan yang lebat dan malam yang pekat, sudah pasti pemanduan akan menjadi lebih sukar apalagi mencabar.
Risiko kemalangan makin meningkat tinggi. Keselamatan juga boleh jadi tergugat. Begitulah juga tentang hal berkata benar, dalam keadaan kebenaran bercampur-campur dengan kebatilan, atau lebih teruk lagi jika kebatilan telah diterima akur sebagai norma baharu dalam masyarakat, maka berkata tentang kebenaran akan menjadi sukar. Apatah lagi apabila masyarakat sendiri sudah lelah dan putus asa untuk memperjuangkan kebenaran, lalu menerima kebatilan secara paksa rela.
Benarkah bahawa berkata benar itu pahit?
Jika ditinjau dalam budaya Melayu, terdapat beberapa peribahasa tentang kebenaran, antaranya, “Berkata benarlah walaupun pahit.” Ia selari dengan saranan Nabi Muhammad SAW dalam hadis baginda yang bermaksud: “Berkatalah benar walaupun pahit.” (HR Ibnu Hibban, No. 361) Haji Abdul Malik Karim Amrullah, atau yang lebih popular dengan sebutan Hamka, adalah seorang ulama, aktivis politik dan sasterawan terkenal di Alam Melayu termasuk Malaysia, telah menggambarkan kebenaran dengan rapi sekali.
Menurut beliau sebagaimana dalam buku berjudul Tasawuf Modern, kebenaran sangat berkait rapat dengan kesihatan jiwa. Bicaranya: “Kesihatan jiwa memerlukan empat syarat iaitu berani pada kebenaran dan takut pada kesalahan, pandai menjaga kehormatan batin, mengetahui hikmah atau rahsia kehidupan serta bersikap adil walaupun kepada diri sendiri”. Daripada itu, Hamka telah mengaitkan kebenaran dengan sifat dan sikap yang ada dalam diri seseorang itu sendiri.
Punca kepahitan
Mengapakah menyatakan kebenaran itu pahit, sedangkan kebenaran itu adalah sesuatu yang baik? Hakikatnya, dalam menyampaikan kebenaran terdapat dua keadaan yang merosakkan jiwa manusia iaitu sikap gelojoh dan sifat penakut. Akibat sikap gelojoh dan terburu-buru untuk menyampaikan kebenaran, maka seseorang akan mengabaikan sudut-sudut yang perlu dipertimbangkan sebelum bertindak.
Sering juga kita mendengar seseorang yang ingin menyampaikan kebenaran dengan mengkritik kesalahan, tetapi dengan sifat-sifat buruk yang lain seperti menggunakan kata-kata yang kesat, mengumpat, disertai panas baran dan marah, keras kepala, ego yang keterlaluan, mengecilkan hati orang, takbur serta sombong. Lalu kebenaran yang ingin diperjuangkan menjadi tawar, buruk dan tidak akan tertegak.
Lebih sadis lagi, masalah-masalah lain pula yang akan timbul. Sifat penakut juga merupakan penghalang kepada menyampaikan kebenaran. Pepatah
Melayu yang sarat makna mengatakan, “Berani kerana benar, takut kerana salah”. Realitinya, ramai yang tahu akan kebenaran, tetapi berapa ramai yang berani
memperjuangkannya? Bahkan, berapa ramai yang mampu menyampaikan kebenaran dengan penuh hikmah?
Menurut Pensyarah Psikologi Kaunseling, Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Profesor Madya Dr Huzili Hussin, sifat penakut untuk berkata benar mungkin berpunca kerana takut menerima impak akibat daripada berkata benar seperti orang tidak menyukainya, malas menimbulkan isu, mengelak berlaku konflik dan mengambil pendirian berkecuali serta mendiamkan diri.
Ikhlas bukan diam, hikmah bukan lemah
Sejujurnya dalam berkata benar, seseorang perlu ikhlas dan mempunyai hikmah. Ikhlas bukan bererti diam, malah dalam menyatakan kebenaran, kelantangan dan keberanian diperlukan. Hikmah pula bukan bererti lemah, tetapi menggunakan cara dan pendekatan yang sesuai. Ada kebenaran perlu dikatakan dengan lidah, ada pula yang perlu dikatakan dengan tindakan yang tegas. Ini adalah kerana kebatilan sering kali dikaitkan dengan kezaliman dan
penindasan.
Hal ini berkait rapat dengan pesanan Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik jihad ialah berkata benar walaupun di hadapan raja yang zalim." (HR Tirmidzi, No. 2174) Sejarah dunia telah banyak merakamkan tentang keberanian pejuang kebenaran di hadapan penguasa. Hasilnya sama ada kebenaran akan tertegak dan kebatilan dapat dicegah, atau pejuang kebenaran terpaksa mencicip ‘kepahitan’ kebenaran tersebut di dalam penjara atau buangan.
Yang pasti, keberanian itu bukanlah sesuatu yang boleh dibuat-buat. Ia lahir daripada perwatakan dan peribadi yang mulia serta nilai integriti dan moral yang tinggi. Jika dilihat pada sudut kepimpinan negara, pemimpin haruslah berani melakukan sesuatu perubahan dan memperkenalkan kebenaran yang membela kemaslahatan rakyat meskipun ia tidak popular. Keberanian juga dipengaruhi tahap intelektual seseorang pemimpin. Hanya dengan kedua-dua perkara tersebut, akan berlaku anjakan pada rakyat dan dasar-dasar utama negara yang berteraskan kebenaran akan dapat dilaksanakan.
Hakikatnya, pemimpin yang bersifat populis dan tidak berani menegakkan kebenaran yang dilihat tidak popular, maka sudah tentu yang akan menerima nasib keburukannya ialah rakyat. Sikap berani memperjuangkan kebenaran ini sejajar dengan prinsip yang terkandung dalam al-Quran, menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran (amru bil ma’ruf wan nahyu al-munkar).
Prinsip ini memberdayakan seseorang Muslim untuk mengkritik, mengubah dan membetulkan kezaliman serta kejahatan seseorang atau sesuatu pihak, termasuk pihak yang mempunyai kuasa dan autoriti. Justeru, demi membaikkan keadaan yang ada, pertiwi yang kita cintai memerlukan ramai lagi pejuang kebenaran yang berasaskan fakta dan prinsip, bukan emosi dan andaian atau rekaan semata-mata.
“Berani kerana benar, takut kerana salah. Lantang kerana prinsip, gugup kerana lemah”. Teruslah memperjuangkannya.
Oleh: Dr Hamidah Mat
Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial (FESS OUM)