Haniza Mohamed Talha
Haniza Mohamed Talha

KUALA LUMPUR – Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang baru dilancarkan berkemungkinan akan membuat penampilan pertama dalam arena politik negara dengan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut Timbalan Presiden PBM, Haniza Mohamed Talha, parti itu berkemungkinan besar akan meletakkan calon berdasarkan perkembangan politik terkini, statistik dan maklum balas dari lapangan.

“Bagaimanapun, PBM hanya akan meletakkan calon di kawasan di mana pemimpin telah berkhidmat kepada rakyat di sana dan dikenali oleh pengundi.

“Kemudian, calon-calon ini akan mempunyai peluang yang baik untuk menang.

“PBM adalah sebuah parti berbilang kaum yang kuat dan ini merupakan faktor penyatuan seluruh rakyat Malaysia. Semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, warna kulit atau kepercayaan dilihat sebagai satu Bangsa Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya itu berkata, perbincangan sedang dijalankan oleh pemimpin parti dan juga pihak di luar PBM.

Haniza berkata, PBM mendesak supaya lebih banyak calon wanita dan belia diletakkan untuk bertanding dalam pilihan raya.

“Bakat yang belum diterokai ini pastinya akan menyumbang ke arah pembangunan ekonomi dan negara yang lebih baik.

“Saya pernah dari parti berbilang kaum, tetapi lama-kelamaan, ia melencong dari haluan asalnya dan daripada perjuangannya untuk membawa pembaharuan,” tambah Haniza.

Sementara itu, Haniza yang merupakan bekas pemimpin PKR sebelum dilucutkan keahlian berkata, beliau menyertai PBM kerana parti itu memberikan tumpuan kepada pemerkasaan wanita dan belia, ekonomi, pendidikan, kemajuan dalam sains dan teknologi.

Menurutnya, tidak ada mana-mana parti yang memperjuangkan semua agenda penting tersebut.

Sebagai timbalan presiden, kata Haniza, beliau ingin membantu mengukuhkan PBM dan menjadikan parti itu sebagai pilihan rakyat pada pilihan raya akan datang.

Beberapa rancangan telah disediakan, termasuk jerayawara di semua 14 negeri PBM, mesyuarat pemimpin dan ahli baharu, mempromosikan PBM kepada rakyat melalui program dan penglibatan dengan mereka.

PBM dahulunya dikenali sebagai Parti Pekerja Sarawak (SWP) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) telah meluluskan penukaran nama SWP kepada PBM dan perlembagaan baharunya. – MalaysiaGazette