Chasoot Nugget yang dihasilkan oleh Alec Sean Tiannok Sunga dan Balqis Nasya Sajer.

KUALA LUMPUR – Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) merangkul Anugerah Inventor
Muda Terbaik Bidang Sains Sosial dalam Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Maya
Antarabangsa Sabah (SIVIIC), baru-baru ini.

UMS yang diwakili Hanif Abdurahman Siswanto, Alec Sean Tiannok Sunga dan Balqis Nasya Sajer menerima anugerah itu melalui ‘Chasoot Nugget’ iaitu sebuah produk makanan sampingan berasaskan sayuran.

Kesemua mereka merupakan pelajar kursus kokurikulum berkredit Interaksi Institusi dan
Masyarakat  (INTERIM), Pusat kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) dengan dibimbing jurulatih dan penasihat, Sakinah Ithnin serta Pengarah PKPP, Dr. Jurry Foo.

Menurut Dr. Jurry, keistimewaan produk inovasi daripada pucuk ubi kayu itu antaranya
mempunyai khasiat yang baik dengan harga jualan yang mampu milik.

“Pada masa yang sama, ia boleh menarik minat masyarakat untuk mengambil lebih banyak sayur-sayuran dalam diet harian selain boleh membantu petani menambahkan pendapatan.

“Justifikasi idea ini juga adalah bersandarkan kepada kajian manfaat pucuk ubi kayu kepada kesihatan manusia dan juga isu obesiti dalam kalangan masyarakat.

“Dari segi pasaran, produk ini mempunyai nilai komersial yang tinggi kerana limpahan ubi
kayu di Malaysia, kemudahan pengeluarannya, dan fakta bahawa ia adalah nuget sejuk beku yang boleh disimpan lebih lama daripada makanan segar,” katanya.

Pertandingan SIVIIC kali ke-2 itu merupakan anjuran Jabatan Penyelidikan, Hubungan
Industri, Komuniti dan Alumni (PJIMA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah.

Bertemakan "Menukarkan Ketidakpastian Covid-19 kepada Peluang", sebanyak 60 produk dan inovasi merangkumi bidang sains dan sains sosial telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.

Menurut Jurry, lima lagi kumpulan lain turut mencatatkan pencapaian yang membanggakan apabila kesemua mereka masing-masing dinobatkan Anugerah Gangsa.
“Lima kumpulan pelajar UMS ini meraih pingat melalui produk Smart A-Bin, Charm-Dal Light, Innovation of Tombstone ‘Batu Nisan’, Friendly Wudhuk Hand Shock, dan produk Prayermate With Pocket .

“PKPP berhasrat meneruskan budaya reka cipta dan inovasi sebagai satu daripada kaedah
penyampaian dalam Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) yang ditawarkan di UMS.
“Sebagai menjamin kualiti dan impak menyeluruh kepada pelajar, PKPP UMS bercadang
untuk menganjurkan bengkel dan seminar bersama Majlis Pengarah Kokurikulum Universiti Awam Malaysia (UniCC) pada masa akan datang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Jurry memaklumkan bahawa pencapaian pelajar dalam pertandingan inovasi peringkat antarabangsa membuktikan bahawa Kemahiran Reka Cipta dan Inovasi seperti yang disarankan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) adalah sangat relevan.

“Penerapannya sebagai satu kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam KKB amat
bertepatan ke arah melahirkan pelajar holistik yang menguasai kemahiran insaniah
kepimpinan dan interpersonal melalui kursus mata pelajaran umum (MPU) yang wajib
diambil oleh pelajar dalam pengajian mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast