Gambar hiasan

ALOR SETAR – Polis menahan tujuh individu disyaki terlibat dalam aktiviti perlombongan bitcoin di negeri ini dalam 44 serbuan menerusi Op Letrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) Bitcoin sejak 19 Januari lepas.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pihaknya turut merampas 3,245 mesin perlombongan bitcoin yang dianggar bernilai RM3.2 juta.

Beliau berkata Op Letrik TNB Bitcoin dilancarkan pada 2020 di seluruh negara dan hingga kini secara keseluruhannya, Polis Kedah telah berjaya merampas 5,948 mesin bitcoin dianggar bernilai RM6.6 juta menerusi 85 serbuan.

“Modus operandi sindiket ini adalah melakukan penyambungan haram arus elektrik dan menjadikan premis perniagaan serta rumah kediaman sebagai platform untuk menjalankan aktiviti mereka.

“Suspek akan menggajikan pekerja yang mahir dalam melakukan penyambungan haram dan menjaga premis mereka. Tindakan mereka ini telah menyebabkan berlaku gangguan bekalan elektrik kepada masyarakat setempat,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Wan Hassan berkata, harga semasa bagi seunit mesin perlombongan itu adalah RM1,000 hingga RM1,500 manakala caj penggunaan elektrik setiap mesin dianggar berjumlah RM400 hingga RM500 sebulan menerusi pengaktifan secara 24 jam.

Beliau berkata kesemua individu berusia 35 hingga 45 tahun itu direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990.

“Polis menyeru orang ramai untuk turut sama mencegah aktiviti perlombongan bitcoin ini dan sekiranya mempunyai maklumat berkaitan aktiviti ini, boleh menghubungi mana-mana balai polis atau talian Polis Kedah di 04-7741222,” katanya.

Sementara itu, Wan Hassan berkata, sempena perayaan Tahun Baharu Cina, pihaknya akan menumpukan pengawasan di kawasan Sungai Petani, Kulim dan Baling yang dikenal pasti sebagai kawasan ‘hotspot’ berlakunya kemalangan.

“Aliran trafik pada musim perayaan akan meningkat tiga kali ganda berbanding hari biasa dan dijangkakan 200,000 kenderaan akan masuk ke Kedah menjelang Tahun Baharu Cina ini. Jadi, kita akan adakan pemantauan terutama terhadap kenderaan berat,” katanya. – Bernama